Pada 2 Mei 2024 yang lalu, satu sesi pengajaran kolaboratif telah diadakan bersama dengan para pelajar semester dua, program Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) yang mengambil kod kursus PHY012 (Physics for Pre Diploma II) pada semester ini. Pelaksanaan pengajaran kolaboratif ini telah menggunapakai Model 2 yang melibatkan kolaborasi penyampaian, di mana seorang pensyarah tamu iaitu Dr. Nurhalawa Md Yusof dari National Metrology Institute of Malaysia (NMIM), SIRIM Berhad telah diundang untuk menyampaikan kuliah bertajuk Waves.
Sesi kuliah ini telah pun diadakan secara dalam talian menggunakan pelantar Google Meet, dan dihadiri oleh 35 orang pelajar dari Kampus Kuala Pilah, Kampus Permatang Pauh dan Kampus Bukit Besi. Dalam sesi kuliah ini, Dr. Nurhalawa yang amat berpengalaman dalam bidang akustik dan ultrasound, telah menerangkan asas-asas berkaitan dengan gelombang, bermula dengan definisi gelombang, jenis-jenis gelombang, parameter gelombang, serta fenomena-fenomena gelombang seperti pantulan, pembiasan, pembelauan, superposisi, pelembapan dan resonans.
Di samping itu, pada sesi pengajaran kolaboratif ini juga diselitkan pertandingan swafoto oleh para pelajar. Setiap pelajar dikehendaki untuk mengambil gambar swafoto mereka ketika sesi pengajaran kolaboratif ini berlangsung dan menghantar penyertaan berserta dengan kapsyen menarik yang berkaitan dengan gelombang. Seramai 6 orang pelajar telah diumumkan sebagai pemenang pertandingan yang terdiri daripada 3 orang pelajar dari kampus Permatang Pauh dan 3 orang pelajar dari kampus Kuala Pilah.
Sepanjang sesi ini berlangsung, ternyata para pelajar sangat teruja dan bersemangat mendengar sesi perkongsian yang disampaikan oleh Dr. Nurhalawa, yang mana beberapa orang pelajar telah berjaya memberikan jawapan dengan tepat apabila diajukan soalan oleh beliau. Sesi pengajaran kolaboratif ini turut dihadiri oleh para pensyarah yang mengajar kod kursus PHY012 di beberapa kampus cawangan UiTM. Sesungguhnya banyak maklumat telah dikongsikan dalam sesi selama 2 jam ini. Semoga kaedah pembelajaran sebegini dapat memberi 1001 manfaat dan nilai tambah ilmu pengetahuan dalam pembelajaran tajuk gelombang kepada semua pelajar.