Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) merupakan nadi pengurusan pelajar bagi seluruh sistem universiti untuk menyempurnakan bidang tugas, tanggungjawab dan fungsinya. Dalam mencapai objekktif UiTM, BHEP bertindak selaku penghubung antara pelajar dan juga pihak pengurusan UiTM. Selain itu, staf dibahagian HEP juga berfungsi sebagai komponen penting dalam melahirkan modal insan yang unggul.
Demi mencapai matlamat, visi serta misi UiTM, semua staf di BHEP telah dilatih agar menjadi pekerja yang mempunyai ciri-ciri unggul dan dinamik dalam menghasilkan kerja yang berkualiti. Disamping itu, selain daripada staff BHEP, staff akademik yang berada di BHEP juga memainkan peranan dalam membantu BHEP mencapai visi dan misinya. Staff akademik di BHEP ini terdiri daripada Timbalan Rektor BHEP, Ketua Staff Residen Kolej (SRK), Staff Residen Kolej (SRK) dan Ketua Unit Kepimpinan Pelajar (KUKP).
Staff akademik yang berada di BHEP memainkan peranan dalam memastikan tadbir urus dapat dilaksanakan dengan jayanya berkaitan hal ehwal pelajar selain menyalurkan maklumat penting berkaitan akademik kepada para pelajar. Bagi menyahut seruan dan menjayakan matlamat ini, satu perjumpaan dan perbincangan telah diadakan untuk membincangkan halatuju hal-hal berkaitan. Timbalan Rektor HEP UiTM Cawangan Pahang iaitu Yang Berusaha Dr. Mohd Kamal Azman bin Jusoh telah berbesar hati mempengerusikan perbincangan tersebut pada 18 Januari 2022, yang turut sama dihadiri oleh Puan Norhaslinda Arun selaku KSRK, En Mohd Faizal Azrul Azwan (KUKP) dan En Mohd Risham Jaafar (SRK).
Pertemuan ini antara lain membincangkan perkara yang membolehkan penampakan BHEP UiTM Cawangan Pahang dimata warga UiTM khususnya dan masyarakat setempat secara amnya melalui program-program yang dirancang pada masa akan datang dengan keterlibatan staf akademik yang menjalankan tugasan di BHEP. Justeru dengan ini diharapkan agar lebih ramai staf akademik sama-sama terlibat dan menyumbang bakti serta tenaga dalam pembangunan pelajar yang bukan sahaja di dalam bidang akademik tetapi juga aktiviti-aktiviti lain seperti kebolehpasaran pelajar UiTM di dalam industri, pembangunan inovasi, latihan pemantapan pelajar dan sebagainya.
Diharap program-program yang dirancang hasil daripada perbincangan ini dapat dilaksanakan dan mencapai matlamat yang ditetapkan.