Selari dengan silibus didalam kursus yang ditawarkan oleh Pengajian Kejuruteraan Elektrik, satu latihan makmal telah diadakan kepada pelajar di semester 1 seramai 55 orang berkenaan dengan bantuan pernafasan atau dipanggil sebagai CPR (cardiopulmonary resuscitation). Latihan ini dibahagikan kepada 2 sesi untuk mengelak daripada jumlah pelajar yang ramai dalam satu masa. Bagi menjayakan latihan makmal ini, Unit Kesihatan UiTMCTKD telah dijemput untuk memberikan penerangan serta demonstrasi berkenaan cara-cara untuk melakukan bantuan pernafasan.
Sebelum bermulanya demonstrasi berkenaan bantuan pernafasan, Dr. Zaizul Hairudi bin Mohd Zain, Ketua Unit Kesihatan di UiTMCTKD telah meluangkan masanya untuk bersama dengan pelajar-pelajar tersebut bagi menerangkan serba sedikit berkenaan fungsi-fungsi organ didalam tubuh manusia.
Selepas itu, Penolong Pegawai Perubatan UiTMCTKD, Ahmad Bin Tuan Cob, telah mengambil alih tugas untuk membuat demonstrasi kepada pelajar-pelajar berkenaan bantuan pernafasan. Semua alat-alat peralatan bagi demonstrasi ini adalah dari Unit Kesihatan UiTMCTKD. Dengan pendedahan yang diberikan ini, pelajar-pelajar dapat melihat sendiri dengan lebih dekat cara-cara atau kaedah yang betul untuk melakukan bantuan pernafasan. Pelajar juga diberikan peluang untuk mencuba sendiri membuat demonstrasi bantuan pernafasan. Latihan bantuan pernafasan ini sangat penting bagi mengurangkan risiko kematian jika berlaku kemalangan.