ESI & I-DART: Keluarga UiTM

PUNCAK ALAM – Program ESI & I-DART: KELUARGA UiTM anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam telah diadakan di Dewan Kuliah 10, Bangunan Fakulti Sains Kesihatan (FSK) 7, UiTM Kampus Puncak Alam. Seramai 175 orang pelajar baharu daripada Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Persatuan Pelajar Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran (EHSAn), Persatuan Pelajar Kejururawatan (NUSA) dan Persatuan Pelajar Optometri (OPTIMIST) termasuk 23 orang AJK dan seorang penceramah jemputan telah terlibat dalam menjayakan program ini. Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TDHEP) Fakulti Sains Kesihatan, Encik Romizan bin Jathin.

Program ini merupakan usaha Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH) untuk memupuk nilai excellence, synergy & integrity dalam berorganisasi dan nilai ilmu, disiplin, amanah, rajin dan tanggungjawab dalam diri mahasiswa. Hal ini sejajar dengan harapan universiti untuk melahirkan mahasiswa yang lengkap dengan pelbagai aspek sebelum menceburi alam pekerjaan dan bukan sahaja tertumpu kepada aspek akademik.

Penceramah jemputan yang dijemput merupakan Encik Fairus bin Muhamad Darus yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembangunan dan kepimpinan pelajar. Ia bertujuan untuk menarik minat peserta untuk mula menyemai kesemua nilai positif yang cuba disampaikan oleh penceramah melalui sesi ceramah beliau. Pengarah program, Mohamad Ridwan Nizar bin Mohd Farid berkata, program seperti ini amat diperlukan sebagai persediaan awal bagi para pelajar baharu untuk meningkatkan tahap keyakinan diri semasa berinteraksi dan juga mampu bekerja dalam sesebuah kumpulan. Program ini juga dapat memupuk nilai-nilai murni yang boleh diaplikasikan pada masa akan datang. Oleh yang demikian, program ini secara tidak langsung mampu meningkatkan mutu hasil kerja dan komunikasi antara pelajar.

“Di samping itu, diharapkan agar semua pelajar baharu memperoleh pendedahan mengenai erti disebalik frasa ESI & I-DART yang sentiasa diterapkan dalam kalangan pelajar UiTM,” katanya.

#FSKSynergy #FSKPower #FSKEverywhere