Pada 27 November 2021 yang lepas, UiTM Cawangan Pulau Pinang (Kampus Bertam) menerusi program Dare2BFit 3.0 telah menganjurkan satu aktiviti pendakian 3 puncak bukit di sekitar Glugor, Pulau Pinang. Pendakian tersebut yang dinamakan Trans Rimbah-Kukus-Jambul telah disertai oleh 5 orang staf daripada kampus Permatang Pauh dan 11 orang staf daripada kampus Bertam. Aktiviti bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengah hari.
Pendakian dimulakan dengan laluan menuju ke Bukit Rimbah dengan ketinggian 335 mapl, yang mengambil masa hampir satu jam. Di puncak Bukit Rimbah, para peserta disajikan dengan pemandangan Selat Melaka. Pulau Jerejak dan Jambatan Kedua Pulau Pinang juga jelas kelihatan. Setelah melepaskan lelah selama 20 minit, pendakian diteruskan dengan puncak kedua iaitu puncak Bukit Kukus. Dari Bukit Rimbah ke Bukit Kukus yang berketinggian 400 mapl, hanya 15 minit diperlukan. Untuk ke puncak ketiga iaitu Bukit Jambul, para peserta perlu berpatah balik ke laluan kaki Bukit Rimbah dan mendaki semula laluan tanah yang berselang-seli dengan laluan bertangga Bukit Jambul untuk naik ke ketinggian 242 mapl.
Program Dare2BFit 3.0 adalah program tahunan anjuran Jabatan Fisioterapi (Fakulti Sains Kesihatan), Unit Sukan, Unit Kesihatan dan PTAR UiTMCPP Kampus Bertam. Tahun ini merupakan tahun ketiga program ini dijalankan untuk memenuhi objektif ke arah pemerkasaan kesihatan staf secara holistik. Penaung program Dare2BFit 3.0 adalah Penolong Rektor UiTMCPP Kampus Bertam iaitu Dr Siti Nur Fadzilah Muhsain dan diketuai oleh Tuan Hj Bahman Jamaluddin, pensyarah Jabatan Fisioterapi.