SHAH ALAM, 24 Jun 2023 – UiTM melalui Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) telah menganjurkan sebuah seminar bertumpukan kepada penambahbaikan proses persisian. Penceramah jemputan merupakan En Fauzi Bahaldin, Chief Technology Officer (CTO) dari CARA COM MY.
Di dalam seminar tersebut, En Fauzi telah memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan penambahbaikan proses perisian dari sudut industri. Beliau turut menekankan kepentingan penambahbaikan secara berterusan bukan sahaja dari segi proses perisian, tetapi juga sebagai kerja berpasukan di dalam sesebuah organisasi.
En Fauzi turut disertai oleh sekumpulan pasukan penceramah yang berkongsi ilmu “low-code development platform” dan “Power BI tools” kepada para pelajar. Seminar diakhiri dengan menjawab soalan “business case scenario” sebagai kajian kes.
Majlis ini juga turut dihadiri oleh Dr Kamalia Azma Kamaruddin, selaku Koordinator Sistem Maklumat dan dimeriahkan lagi dengan kunjungan kejutan Penolong Naib Canselor KPPIM, Prof. Ts Dr Haryani Haron.
Seminar ini mendokong aspirasi pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 4, 9 dan 17 dimana peserta berpeluang menambah nilai kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran setelah tamat pengajian. Kolaborasi bersama pihak industri berupaya memacu pencapaian objektif secara kolektif dan semestinya memberi kebaikan kepada semua pihak terlibat.