PUNCAK ALAM, 7 FEBRUARI 2024 – Telah berlangsung satu sesi pembentangan projek pelajar-pelajar semester akhir, Bidang Senibina Landskap bagi sesi akademik Okt 2023 – Feb 2024. Seramai 57 orang pelajar terlibat dalam pembentangan tersebut yang berlangsung secara bersemuka di Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam. Pembentangan tersebut melibatkan lapan sesi pembentangan selari yang dijalankan serentak.
Terdapat lima tema khas dalam penghasilan projek akhir tersebut seperti Urban Design and Heritage, Cultural and Heritage Landscape, Environmental and Ecology, Park Open Space and Community Landscape dan Institutional Landscape. Pembentangan bermula jam 9.00 pagi dan tamat pada jam 1.30 petang. Setiap sesi pembentangan selari tersebut melibatkan tujuh hingga lapan orang pelajar sahaja. Selain itu, penglibatan seramai tujuh orang panel luar dalam pelbagai bidang telah dijemput bagi membuat penilaian projek akhir pelajar. Mereka terdiri daripada tiga orang perunding landskap, dua orang ahli akademik dan masing-masing seorang pemaju dan seorang Pihak Berkuasa Tempatan. Turut bersama-sama dalam pembentangan tersebut juga adalah penilai dalaman melibatkan semua pensyarah Bidang Seni Bina Landskap, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.
Sinergi antara pemegang taruh daripada pemain industri dan ahli akademik dalam membuat penilaian sering diamalkan oleh Bidang Seni Bina Landskap. Ini kerana komentar yang diberikan oleh setiap panel seimbang dan seiring dengan kehendak industri khususnya dalam Bidang Senibina Landskap di Malaysia. Selain itu, panel luar dapat melihat potensi yang ada pada para pelajar dari segi kebolehan komunikasi, pemikiran kritis, keyakinan dan keterampilan dalam penghasilan sesuatu rekabentuk landskap. Ini juga memberi peluang kepada para pelajar untuk mempromosikan diri masing-masing dalam mendapatkan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian kelak. Diharap sinergi ini dapat mempererat dan memperkukuh hubungan jaringan industri antara pihak UiTM dan pihak pemain industri.