Imarahkan Pembentangan Pelajar Tahun Akhir, Kolej Alam Bina

PUNCAK ALAM, 8 Februari 2024 – Bidang Senibina Landskap, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah mengadakan sesi pameran projek pelajar-pelajar semester akhir, Sarjana Muda Senibina Landskap (Kepujian) bagi sesi akademik Okt 2023 – Feb 2024. Sesi pameran tersebut turut mendapat kunjungan tetamu khas daripada Penolong Naib Canselor, Pejabat Pembangunan Infrastruktur Dan Infostruktur bersama-sama para Rektor UiTM. Selaku tuan rumah, Timbalan Naib Canselor (TNC), Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah menyambut ketibaan para tetamu khas tersebut. Turut serta adalah Dekan Akademik dan Antarabangsa selaku pemangku Penolong Naib Canselor (PNC), KAB, Profesor Madya Ts. Dr. Emma Marinie Ahmad Zawawi. Begitu juga, Dekan Hal Ehwal Pelajar, KAB, Sr. Dr. Ahmad Shazrin Mohamed Azmi bersama Profesor Madya LAr. Ts. Dr. Nurhayati Abdul Malek, Ketua Bidang Senibina Landskap, KAB. Kunjungan tersebut diketuai oleh Profesor Ts. Sr. Dr. Md Yusof Hamid, PMP, AMP (PNC PPII) bersama Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman (Rektor UiTM Cawangan Selangor), Profesor Ts. Dr. Mazidah Puteh (Rektor UiTM Cawangan Terengganu), Profesor Dr. Hj. Abdol Samad Nawi (Rektor UiTM Cawangan Kelantan), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini (Rektor UiTM Cawangan Melaka), Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Bin Mohd Fauzi (Rektor UiTM Cawangan Perlis), Profesor Madya Dr Nur Hisham Ibrahim (Rektor UiTM Cawangan Perak), wakil Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang dan tetamu khas yang lain.

Sesi kunjungan didahului dengan taklimat ringkas oleh Profesor Madya LAr. Ts. Dr. Nurhayati Abdul Malek, Ketua Bidang Senibina Landskap, KAB. Beliau memberikan taklimat berkaitan hasil cadangan pelan induk landskap bagi 17 kampus UiTM yang terlibat. Disamping taklimat tersebut, disediakan juga laporan cadangan pelan induk landskap bagi rujukan dan simpanan para Rektor UiTM. Seusai sesi taklimat, para tetamu khas dijamu dengan jamuan minum petang yang disediakan oleh pihak Bidang Senibina Landskap. Seterusnya, para tetamu khas dijemput ke tempat sesi pameran bersama-sama pensyarah Bidang Senibina Landskap.

Seramai 15 orang pelajar terlibat mengiringi para Rektor UiTM masing-masing ke poster pembentangan seterusnya membentangkan hasil cadangan pelan induk landskap mereka. Suasana sesi pameran tersebut semakin meriah dan rancak termasuklah dengan kehadiran orang awam. Setelah kesemua pelajar memberikan penerangan kepada Rektor UiTM masing-masing, Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah secara simbolik memberikan laporan cadangan pelan induk landskap kepada setiap Rektor UiTM. Turut sama-sama dalam sesi tersebut adalah Profesor Madya Ts. Dr. Emma Marinie Ahmad Zawawi, Sr. Dr. Ahmad Shazrin Mohamed Azmi dan Profesor Madya LAr. Ts. Dr. Nurhayati Abdul Malek dan juga pelajar terlibat. Sebelum meninggalkan sesi pameran, kesemua para tetamu khas, pensyarah dan pelajar mengabadikan kenangan melalui sesi bergambar. Kemudian, para tetamu khas beredar dari studio pameran sambil mengucapkan ribuan terima kasih.

Terdahulu, sesi pameran tersebut telah berlangsung pada jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang di aras tiga, Studio Senibina Landskap, KAB. Pameran tersebut dibahagikan mengikut tema tertentu seperti Urban Design and Heritage, Cultural and Heritage Landscape, Environmental and Ecology, Park Open Space and Community Landscape dan Institutional Landscape. Sebanyak 56 hasil projek Senibina Landskap telah dipamerkan sepanjang sesi pameran tersebut. Ianya tidak terhad kepada kunjungan para pelajar di KAB sahaja kerana pameran ini terbuka kepada umum. Sepanjang pemerhatian, ahli keluarga para pelajar semester akhir turut hadir memberi sokongan moral berserta rakan-rakan terapat mereka. Kelihatan juga para pelajar Senibina Landskap dari semester lain turut memeriahkan sesi pameran. Sebagai penutup, Profesor Madya LAr. Ts. Dr. Nurhayati Abdul Malek memberikan sedikit ucapan penutup kepada para pelajar semester akhir. Beliau sangat berpuas hati dan berbangga atas kelancaran sesi pemeran yang dijalankan.