Pelajar UiTM Dibenar Ambil Barang Peribadi di Kampus

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan pelajar kembali semula ke kampus bagi mengambil barangan peribadi bermula 15 Jun ini.

Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, Prof Dr Azizan Abdullah, berkata kebenaran itu bagaimanapun diberikan secara berperingkat dan berjadual. Katanya, pelajar juga diminta membuat pengosongan bilik di kolej kediaman masing-masing.

“UiTM menerima banyak permohonan daripada pelajar untuk kembali semula ke kampus bagi mengambil barang peribadi khususnya buku rujukan dan komputer riba untuk tujuan meneruskan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan lebih lancar.

“Sehubungan itu, UiTM akan membenarkan pelajar untuk kembali semula ke kampus bagi mengambil barangan peribadi dan seterusnya membuat pengosongan bilik di kolej kediaman masing-masing bermula pada 15 Jun secara berperingkat dan berjadual.

“Kebenaran untuk kembali ke kampus bagi setiap pelajar adalah berdasarkan ketetapan tarikh dan masa yang ditentukan oleh pengurusan kolej kediaman masing-masing,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Twitter rasmi UiTM.

Katanya, kebenaran itu bagaimanapun tidak akan membabitkan pelajar UiTM cawangan Negeri Sembilan (Kampus Rembau) kerana kampus berkenaan sudah diwartakan sebagai pusat kuarantin oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kebenaran bagi pelajar dari Kampus Rembau untuk kembali ke kampus bagi tujuan yang sama akan dimaklumkan kemudian oleh pihak universiti,” katanya.

Beliau berkata, UiTM akan memaklumkan dan memuat naik maklumat terperinci mengenai operasi serta prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi setiap pelajar di laman web rasmi http://www.uitm.edu.my pada Khamis ini.

“Pelajar turut dinasihatkan mematuhi semua SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” katanya.

Azizan berkata, UiTM sentiasa memandang serius keselamatan dan kesihatan warganya serta segala peraturan ditetapkan MKN serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Kebanyakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum ini terkandas di kampus atau rumah sewa masing-masing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa 18 Mac lalu bagi membendung penularan COVID-19.

Kerajaan kemudian memuat keputusan membenarkan pelajar terkandas pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat mulai 27 April dengan mematuhi garis panduan kesihatan dibangunkan KKM bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pada 27 Mei lalu, KPT mengumumkan aktiviti PdP di semua kampus IPT perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember ini, kecuali bagi lima kategori penuntut berkeperluan untuk pulang ke kampus secara berperingkat.

Sementara itu, UiTM akan meneruskan aktiviti PdP secara dalam talian sehingga 31 Disember kecuali bagi beberapa kategori pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus untuk kuliah secara bersemuka.

Ia selaras SOP Pengurusan Operasi Institusi Pendidikan Tinggi Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Wabak COVID-19 menerusi Surat Pemakluman Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi pada 3 Jun lalu.

Sumber :

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/698574/pelajar-uitm-dibenar-ambil-barang-peribadi-di-kampus?fbclid=IwAR2b_PxntzpbkM4ESVbMJ_uEwHr_E8Lj9V34JSZToFRF2pMrpBMnH8EZyho