Seramai 11 orang pelajar daripada UiTM Cawangan Pahang telah dijemput ke pertandingan UiTM International Sport Fiesta 2021 (e-sport). International Sport Fiesta ini mempertandingankan dua permainan e-sukan kegemaran masa kini iaitu Mobile Legends dan juga PUBG Mobile. Bagi pertandingan Mobile Legends ianya melibatkan 16 kumpulan dari pelbagai universiti dari Singapura (National University of Singapore, Nanyang Technological University), Brunei (Universiti Brunei Darussalam, Politeknik Brunei), Indonesia (Universitas Gadjah Mada, Universitas Tanjungpura, Universitas Indonesia, IPB University, Trisakti University, Universitas Tarumanagara) dan Filipina (University of Cebu). Manakala bagi pertandingan PUBG Mobile pula melibatkan 24 kumpulan dari universiti yang sama dan juga turut disertai oleh Universitas Bengkalis Indonesia dan juga University Sports Association Nepal.
Pertandingan ini berlangsung selama tiga hari secara dalam talian bermula pada 4 Mac sehingga 6 Mac 2021. Pengurusan pasukan e-sukan diketuai oleh YM Engku Syahrial Kahpi Engku Halin yang merupakan Penolong Pegawai Belia dan Sukan UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, dan turut dibantu oleh dua orang pegawai kontinjen iaitu Ahmad Saiful Lubis Shamsuddin dan Absyraaf Ikhwan Abdullah. Peserta yang bertanding di peringkat e-sukan antarabangsa ini merupakan peserta yang dipilih dari Karnival Sukan Mahasiswa SeMalaysia (KARiSMA) UiTM 2021 yang berlangsung pada 2 Mac 2021 yang lalu.
Menurut Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan, kejayaan dalam pertandingan e-sukan ini merupakan kejayaan yang membanggakan dan akan mempergiatkan lagi usaha untuk mencapai pencapaian yang lebih baik pada masa hadapan. Pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang juga sentiasa menyokong usaha dalam pembangunan e-sukan. Manakala menurut pengurus pasukan YM Engku Syahrial Kahpi, beliau akan berusaha untuk memastikan kejayaan bagi pasukan UiTM Cawangan Pahang di pertandinga e-sukan peringkat antarangbangsa ini kerana ia bukan sekadar menaikkan nama UiTM malah turut mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.