UiTM Cawangan Sarawak Terima Wakaf Koleksi Kitab Agama Almarhum Dato’ Sri Haji Anis Haji Abot

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak baru-baru ini telah menerima wakaf koleksi kitab – kitab agama milik Almarhum Dato’ Sri Haji Anis Haji Abot. Satu majlis ringkas penyerahan kitab-kitab tersebut telah diadakan dan diserah sendiri oleh anak Almarhum iaitu Dr. Ahmad Lutfi Anis, yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan kepada Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Dato Dr Jamil Haji Hamali.bertempat di Galeri Islam Nusantara, Kampus Samarahan 2. Sebanyak 231 buah kitab telah diwakafkan kepada UiTM Cawangan Sarawak dan diserahkan kepada Perpustakaan Tunku Abdul Rahman (PTAR) UiTM Cawangan Sarawak untuk dijaga dan dipelihara serta dijadikan salah satu koleksi istimewa mereka.

Almarhum Dato’ Sri Haji Anis Haji Abot telah mengumpul koleksi kitab agama ini semasa hayatnya dan telah mewasiatkan kitab – kitab agama tersebut kepada anaknya agar dipelihara dan dijaga untuk kegunaan agar ia dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang. Almarhum amat berharap kitab -kitab tersebut mampu membantu dan mendorong generasi yang akan datang untuk mempertingkatkan ilmu agama serta memperluaskan syiar Islam. Kebanyakan kitab – kitab Almarhum berusia lebih 20 tahun dan ditulis dalam Bahasa Arab ilmiah peringkat tinggi dan diperoleh dari Mesir dan Timur Tengah meliputi tajuk – tajuk fiqah, tauhid, tasawwuf, ajaran Imam Syafiee dan juga tafsir – tafsir Al- Quran. Koleksi kitab ini sangat unik kerana ia jarang ditemui pada masa ini dan sangat sesuai dijadikan asas pengajaran, pembelajaran dan bidang penyelidikan Islam agar ilmu peninggalan Almarhum dapat dikekalkan kesinambungannya.


Turut hadir pada Majlis Ringkas Penyerahan Wakaf ini ialah Penolong Rektor Kampus Samarahan 2, Prof Madya Dr Hasmah Mohidin, Timbalan Ketua Pustakawan UiTM Sarawak, Puan Norhayati Ismail, Timbalan Pendaftar Kanan, Encik Nor Amiruddin Mokhtaruddin serta beberapa ahli Majlis Pengurusan Tertinggi UiTM Cawangan Sarawak.