Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, UiTM Kampus Puncak Alam mampu berbangga apabila hasil projek para pelajar Senibina Landskap UiTM diangkat pada Majlis Anugerah ‘Malaysia Landscape Architecture Awards 12’ (MLAA). Majlis yang dianjurkan oleh Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) buat julung kalinya diadakan secara atas talian ekoran senario pandemik Covid-19 melanda dunia.
MLAA merupakan ruang bagi para penggiat industri dan akademik untuk mempamerkan idea, rekabentuk, hasil penyelidikan dan inovasi dalam bidang Senibina Landskap kepada masyarakat. MLAA juga secara langsung dapat meningkatkan keterampilan bidang Senibina Landskap sebagai salah satu industri yang penting dalam konteks Alam Bina di Malaysia khususnya.
Bagi Anugerah Rekabentuk Pelajar MLAA, Institut Arkitek Landskap Malaysia telah menganugerahkan 4 ‘Honour Award’ kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap UiTM iaitu Nurul Nadhirah Mohd Anuar, Nur Atila Iqmar Zakaria, Adzlily Zuhaira Mohd Yunus dan Nurul Haziqah Kamarul Ariffin.
Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Dekan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur melihat kejayaan ini sebagai perkembangan positif kepada pelajar UiTM khususnya. Beliau juga yakin dengan kredibiliti tenaga pengajar dan para pelajar UiTM untuk bergerak seiring dengan keperluan industri masa kini. Pihak fakulti juga sentiasa positif dalam mengeratkan hubungan antara pihak industri dan akademik sekaligus melahirkan graduan yang mampu berdaya saing dan melengkapi keperluan industri pada masa hadapan.