Lembaga Juruukur Tanah Malaysia (LJT) taja 180 orang pelajar UiTM, Shah Alam

SHAH ALAM: Sebanyak 6 siri hab webinar telah diadakan oleh Geomatics & Land Surveying (GLS) Division dari Pertubuhan Juruukur Di-Raja Malaysia (RISM). Program yang mendapat sokongan daripada Lembaga Juruukur Tanah Malaysia (LJT), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Persatuan Jurukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) ini telah diadakan secara langsung melalui platfom Zoom.

 Hampir 1,000 orang peserta menyertai  hab ini yang meliputi hab pertama diadakan pada 25 November 2020, kemudian disusuli dengan hab yang lain pada tarikh berikutnya iaitu 30 November (Hab 2), 3 Disember (Hab 3), 9 Disember (Hab 4), 11 Disember (Hab 5) dan 14 Disember (Hab 6). Uniknya, kesemua tajuk hab yang dipilih merupakan isu- isu semasa yang menarik minat orang ramai terutamanya dari kalangan golongan profesional dan pelajar universiti dalam bidang Ukur Tanah dan Geomatik di Malaysia.

Kesudian pihak LJT membiayai yuran webinar bagi 180 orang pelajar dari Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik (PPSUG), Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM Shah Alam untuk menyertai kesemua enam (6) siri webinar yang bernilai RM45,000 ini sangat membantu menambahkan ilmu pengetahuan mereka dalam setiap isu yang dibahaskan pada setiap sesi hab. Kesemua panel yang dipilih dalam setiap hab adalah daripada golongan professional dan pakar dalam bidang masinng-masing.

Menurut salah seorang wakil pelajar dari PPSUG, Intan Maisarah Hashim, hab pertama telah memberi pelbagai input dan teknik yang menarik berkenaan cara berkomunikasi atau penyampaian maklumat yang berkesan dalam hubungan sosial serta amalan gaya hidup sihat yang boleh diamalkan dalam kehidupan. Tambahnua lagi, penceramah kedua telah menerangkan mengenai pelbagai inovasi, aplikasi dan juga teknologi baru serta canggih yang digunakan pada masa kini  dalam kerja- kerja pengukuran dan pemetaan.

Manakala salah seorang wakil dari Persatuan Sains Ukur dan Geomatik (GEOMASS), Muhammad Nor Aiman Mansor pula merumuskan bahawa hab ketiga berkenaan isu oversupply atau overhanging yang berlaku dalam konteks hartanah, serta kesinambungan antara permintaan dan bekalan yang boleh mengakibatkan kerugian jika tidak dipantau dengan baik. Pelajar FSPU ini juga menyimpulkan penceramah ke empat telah berjaya menerangkan kepada peserta berkenaan prosedur dan halangan- halangan yang timbul dari proses pemberian Hak Milik Strata di Kuala Lumpur serta cabaran dan kesilapan- kesilapan yang boleh berlaku di dalam merealisasikan hak milik strata bagi bangunan berbilang tingkat.

Seorang wakil pelajar lagi, Amir Luqman Mohamad Fauzi turut berkongsi pengalaman mengikuti siri hab ini. Menurutnya, hab ke lima telah memberi pendedahan kepadanya mengenai peta Malaysia tahun 1979 dan kini Malaysia telah mewartakan persempadanan antarabangsa dengan negara- negara jiran. Selain itu, di dalam hab ini panel turut membincangkan isu-isu sempadan maritim negara yang berbangkit di antara Malaysia, Singapura dan Indonesia seperti kes Pulau Batu Putih dan Polisi Laut China Selatan. Manakala bagi hab terakhir, beliau berkata panel telah berjaya menerangkan berkaitan sistem e-Kadaster yang berupaya mempercepatkan proses kerja pengukuran kadaster bagi pengeluaran hakmilik tanah pada masa kini. Ujarnya, kesemua hab telah berjaya membantu para pelajar dalam memahami isu- isu semasa di dalam bidang Ukur Tanah dan Geomatik ini secara lebih mendalam.