Pelajar Program Perakaunan Profesional UiTM Di Antara Graduan Terbaik Malaysia Dan Dunia

SHAH ALAM, 25 JULAI 2022 – Seorang pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah sekali lagi berjaya mengharumkan nama UiTM dengan menerima anugerah graduan terbaik ataupun dikenali sebagai “Top Affiliate” dari badan perakaunan profesional “Association of Chartered Certified Accountants, United Kingdom” (ACCA)(UK). Bagi sesi peperiksaan Jun 2022 baru-baru ini, saudari Hannah Mumtazah binti Ahmad Murshidi berjaya meraih tempat ketiga di Malaysia dan kelapan di dunia di kalangan lebih kurang 500 graduan di Malaysia dan 3,877 di dunia.

Hannah Mumtazah, 22 tahun merupakan anak sulung di antara dua beradik meluahkan rasa syukur kerana telah menerima penganugerahan ini daripada ACCA(UK). Kejayaan ini merupakan pencapaian dan pengakhiran yang amat manis bagi pengajian beliau di Fakulti Perakaunan, UiTM. Menurut beliau, kejayaan ini tidak dapat dikecapi tanpa sokongan ibu bapa dan rakan-rakan serta komitmen yang tinggi pensyarah fakulti. Tekun dalam pembelajaran, tidak menghalang Hannah untuk bergiat aktif dalam persatuan pelajar fakulti.

Namun begitu, beliau menekankan pentingnya untuk kekal konsisten agar tidak ketinggalan dan sentiasa merujuk kepada pensyarah untuk menerima maklum balas dalam hal-hal peperiksaan atau latihan kelas. Bagi beliau, maklum balas dari pensyarah harus diutamakan kerana itu adalah ruang untuk penambahbaikan pemahaman beliau bagi sesuatu subjek yang dipelajari.

Harapan Hannah selepas ini adalah untuk mendapat pekerjaan yang boleh merealisasikan cita-citanya untuk menjadi seorang akauntan bertauliah. Beliau akan terus berusaha agar dirinya sentiasa bersikap terbuka untuk menimba dan menerima ilmu, kerana banyak pengalaman atau pengetahuan yang masih belum dimilikinya. Beliau juga bersedia untuk kekal komited dengan tanggungjawab yang bakal disandang di alam pekerjaan kelak.

Sedikit latar belakang mengenai Hannah Mumtazah, beliau merupakan pelajar lepasan Kolej Matrikulasi Selangor melalui program Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro) sebelum beliau melanjutkan pengajian program profesional ACCA di UiTM. JPPro merupakan program yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan ACCA Malaysia. Program ini merupakan salah satu laluan bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat perakaunan profesional, ACCA(UK) di UiTM.

UiTM kekal dalam melakar kejayaan demi kejayaan pelajar program perakaunan profesional di peringkat nasional dan antarabangsa. Kejayaan Hannah dan pelajar-pelajar lain adalah bukti kemampuan  Fakulti Perakaunan UiTM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing selaras dengan tanggungjawab meningkatkan bilangan akauntan bertauliah Bumiputera di Malaysia. Sesungguhnya Fakulti Perakaunan dan Universiti Teknologi MARA amat bangga dengan pencapaian Hannah Mumtazah dan semoga kejayaan ini akan menjadi suar harapan buat semua pelajar untuk terus cemerlang.