Pelajar Pengurusan Kewangan Lanjutan UiTM Pahang Menganjurkan Program Fun Funds Charity

Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) menggariskan 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. Dikenali sebagai agenda tindakan untuk manusia, planet dan kemakmuran, SDGs adalah kesinambungan daripada Matlamat Pembangunan Millennium (Millennium Development Goals- MDGs) dan merangkumi semua isu pembangunan lestari. SDG menangani cabaran-cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG. Bagi menyahut saranan negara untuk bidang SDG 1: Tiada Kemiskinan dan SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Yang Baik, unit kokurikulum dengan kerjasama wakil dari Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program Fun Funds Charity.

Pada 27 Jun 2021, telah berlangsung Majlis Penyerahan Sumbangan bagi Fun Funds Charity, iaitu salah satu Projek SULAM 2021 bersama Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari bagi sesi 2021. Majlis tersebut dirasmikan oleh Encik Mat Zaid bin Yazid selaku ketua unit kokurikulum UiTM Cawangan Pahang, bersama jurulatih Dr.Mohamad Azmi bin Nias Ahmad dan pelajar-pelajar yang mengambil kursus Pengurusan Kewangan Lanjutan (HPD235). Majlis tersebut bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada jam 1 petang dan berjaya dilaksanakan melalui aplikasi Google meet. Hasil kutipan sebanyak RM1,650 telah berjaya diserahkan kepada wakil Pusat Jagaan Cahaya kasih Bestari, Ustazah Farahiah dalam majlis penyerahan tersebut.

Secara umumnya, UiTM Cawangan Pahang telah memulakan program SULAM ini dengan aktiviti jual beli sambil beramal yang telah dijalankan selama hampir dua minggu iaitu bermula 14 Jun sehingga 24 Jun 2021. Para pelajar telah menjayakan aktiviti jual beli tersebut dengan menjual barang terpakai secara dalam talian mahupun dalam media sosial. Antara barangan yang dijual adalah barangan persendirian “preloved” seperti pakaian, minyak wangi dan sebagainya. Selain itu, kutipan amal ini juga dilakukan melalui aktiviti jualan makanan dan kuih muih oleh beberapa kumpulan pelajar.

Objektif program Fun Funds Charity ini adalah untuk memberi sumbangan berbentuk kewangan kepada golongan yang memerlukan serta bertujuan untuk membina kerjasama di antara pelajar dan mengelakkan pembaziran dalam pembelian. Selain melatih pelajar untuk mengumpul barangan yang boleh dipakai semula, program ini juga dapat menyemai semangat suka menderma dan membantu golongan yang memerlukan. Pada masa yang sama, program seumpama ini dapat menyumbang kepada komuniti melalui aktiviti kesukarelawanan dengan menggunakan kepakaran pelajar.

Di samping membuat kutipan amal, pelajar juga menjalankan aktiviti kebajikan bersama penghuni Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari yang merupakan anak yatim. Antara aktiviti yang dilakukan adalah menonton video, perkongsian ilmu tentang amalan menabung oleh pelajar dan sesi soal jawab bersama anak-anak tentang kebaikan menabung. Justeru ini, program ini dilihat turut membantu pelajar berinteraksi dengan komuniti terutama kepada generasi baru memandangkan Program Fun Funds Charity ini adalah bersifat sukarelawan dan berterusan memandangkan ia diadakan setiap tahun. Ahli kumpulan memberi sumbangan kepakaran dengan bertindak sebagai fasilitator.

Meskipun situasi pandemik Covid-19 masih berada pada tahap yang membimbangkan sekarang, program tersebut berjaya dilaksanakan namun dalam skala yang kecil dan hanya tertumpu kepada komuniti dalaman iaitu staf UiTM sahaja dan hanya Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari yang terlibat. Program ini tidak terbuka kepada orang awam diluar UiTM. Namun demikian, sambutan hangat masih diberikan oleh para pelajar Pengurusan Kewangan Lanjutan (HPD235) dan anak anak Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari. Jawatankuasa Pelaksanaan program ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.