ALOR GAJAH – 3 Mei : Hak Asasi Manusia merupakan satu istilah yang sering dikaitkan dengan kebebasan individu dalam pelbagai aspek, seperti yang diperjuangkan oleh reformis Barat. Di Malaysia, kebebasan individu masih tertakluk kepada undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Laporan media mengenai penindasan hak asasi manusia, termasuk kebebasan bersuara, isu pekerja asing, kesamaan gender, hak pribumi, dan kebebasan beragama, sering menarik perhatian pemerintah kerana tekanan yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu yang memperjuangkan hak-hak mereka.
Untuk mempergiatkan pendidikan dan kesedaran hak asasi manusia, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) telah ditubuhkan pada tahun 1999 sebagai penasihat dasar dan perundangan. Meskipun telah berlangsung lebih dari dua dekad, generasi muda masih kurang memahami peranan dan fungsi SUHAKAM.
Literasi hak asasi manusia dalam kalangan generasi ini sering dipengaruhi oleh media yang adakalanya tidak seimbang berkecenderungan memaparkan stereotaip terhadap golongan tertentu.
Berdasarkan kepada kesedaran ini, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka, bekerjasama dengan SUHAKAM, telah menganjurkan program Pengajaran Kolaboratif COM168 Isu-isu Kontemporari Komunikasi Dan Media.
Program ini bertujuan untuk memahami bagaimana media dapat mempengaruhi hak asasi manusia dan bagaimana media dapat digunakan untuk memperjuangkan hak-hak tersebut. Program ini telah diadakan di Dewan Kuliah 6, KPP3, UiTM, Cawangan Melaka.
Puan Siti Zaihan Zulkarnain, Pemangku Ketua Bahagian Media dan Promosi, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), dijemput sebagai penceramah untuk ceramah yang bertajuk ‘Hak Asasi Manusia dan Media’. Cenderahati disampaikan oleh Puan Siti Nurshahidah Sah Allah, Penyelaras Program Diploma Komunikasi dan Media (MC110).
Program ini merupakan inisiatif Puan Siti Hajar Abd Aziz, Pensyarah Kanan, Pengajian Komunikasi dan Media, UiTM, Cawangan Melaka, dengan kerjasama pelajar-pelajar dari kelas MMC1102A, MMC1102B, MMC1102C, MMC1102D, dan MMC2425A.
Galeri Gambar: