Pelajar FSPPP Menjuarai PPertandingan “One Minute Talk” sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Sembilan

PORT DICKSON, 30 September 2023 – Saudari Tengku Nurshazwina Tengku Sahrum yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (AM226) dari Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM Kampus Seremban telah memenangi tempat pertama di Pertandingan “One Minute Talk” sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Sembilan.

Pertandingan yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan ini telah dijalankan secara atas talian bermula pada 25 Ogos 2023 sehingga 20 September 2023. Pertandingan yang turut terbuka kepada semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Negeri Sembilan itu menggunapakai platform seperti Instagram, Facebook dan YouTube untuk memberikan ruang kepada anak muda untuk menyampaikan mesej berkaitan permasalahan alam sekitar yang berlaku secara global. Ini termasuklah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dinegeri ini berkaitan isu penipisan lapisan ozon yang berpunca daripada kegiatan manusia sendiri.

Saudari Tengku Nurshazwina didalam video beliau yang bertajuk “Lets Fight Ozone Layer Issue” telah menekankan kepada punca permasalahan penipisan ozon dunia dan menyarankan beberapa solusi utama. Pada masa yang sama, beliau telah mengaitkan kepentingan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) 13 (Climate Action) sebagai pendekatan utama kepada penyelesaian masalah penipisan ozon. Ini adalah kerana penipisan lapisan ozon secara berterusan akan menjurus kepada perubahan iklim yang teruk. Pandangan beliau merupakan salah satu langkah advokasi kearah mewujudkan pemahaman keatas isu global yang mendesak tindakan kolektif anak muda untuk menjamin kelestarian alam sekitar pada masa hadapan.

Majlis penutupan pertandingan ini telah dijalankan pada 30 September 2023 bertempat di Pantai Saujana Port Dickson yang turut dihadiri seramai 200 orang tetamu termasuk Yang Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan dan tetamu jemputan khas yang lain. Pada majlis tersebut, Saudari Tengku Nurshazwina telah membawa pulang sebuah mesin pencetak jenama HP, hamper serta sijil penghargaan.

Secara keseluruhannya, pertandingan ini juga telah memenuhi keperluan SDG17 (Partnership for the Goals) dengan mewujudkan kerjasama dari pihak agensi berkaitan alam sekitar dan penyertaan pihak universiti untuk sama-sama bergerak kearah kelestarian bumi. Ianya juga telah berjaya menggalakkan pelajar untuk menampilkan diri serta memberikan pandangan terhadap isu berkaitan dengan SDG13 iaitu “Climate Action” .