Pelajar Fakulti Pendidikan Salah Seorang Pemenang Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan Waste to Art 2019 Competition

Pelajar Fakulti Pendidikan Salah Seorang Pemenang Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan Waste to Art 2019 Competition
Saudara Amri (paling kiri) bergambar bersama para pemenang dan foto beliau menerangkan produk

Saudara Muhamad Khairil Amri Mohd Kamaruzaman, pelajar semester 4 Program Pendidikan Seni dan Senireka, Fakulti Pendidikan, merupakan salah seorang pemenang pertandingan inovasi peringkat kebangsaan Waste to Art 2019 Competition. Pertandingan ini diadakan sempena Pameran Waste to Art 2019 yang berlangsung dari 4 – 25 Disember 2019 di Gateway, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Penganjur utama pameran dan pertandingan ialah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Balai Seni Negara dan Gateway@KLIA2 selaku penaja lokasi. The Secret of Waste telah dipilih sebagai tema penganjuran untuk tahun 2019.

Saudara Muhamad Khairil Amri yang telah memenangi Kategori 3 Dimensi mempertaruhkan karya beliau, Putera Katak Besi. Bahan yang digunakan ialah besi buangan seperti alat ganti motorsikal. Objektif karya ialah untuk menerbitkan rasa kecintaan dan penghargaan orang ramai terhadap kemampuan bahan buangan dimanipulasikan sebagai satu hasilan seni yang menarik.  Beliau telah mengambil masa sebulan dalam menyiapkan karya ini melalui penggunaan teknik kimpalan semi abstrak.

Pelajar Fakulti Pendidikan Salah Seorang Pemenang Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan Waste to Art 2019 Competition
Putera Katak Besi yang dipamerkan di Waste to Art 2019

Putera Katak dipilih di atas usaha artis yang cuba mengetengahkan persamaan di antara katak dan bahan buangan: kedua-duanya geli dipandang dan disentuh. Namun di dalam mitos Putera Katak, seorang gadis yang mempunyai cinta sejati sanggup meleraikan sumpahan ke atas Putera Katak sehinggalah bertukar kepada seorang putera yang kacak. Didorong perasaan cintakan alam sekitar, bahan buangan mempunyai potensi untuk diubah menjadi karya yang menarik dan dikagumi.

Tahniah dan syabas kepada Saudara Mohamad Khairil Amri di atas kemenangan beliau. Semoga menjadi inspirasi dan pencetus motivasi kepada pelajar Fakulti Pendidikan yang lain untuk menyertai pertandingan seumpama ini di masa-masa akan datang.

`