INDONESIA, 23 Jun 2023 – Pada 1 Jun 2023, seramai 10 pelajar dan 3 pensyarah dari Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melawat Rumah Harapan, sebuah rumah anak yatim dan asnaf yang terletak di Karawang, Indonesia. Pensyarah-pensyarah terlibat adalah Prof. Madya Dr. Tuan Zainun Tuan Mat (Timbalan Dekan, Akademik), Prof. Madya Dr. Fadzlina Mohd Fahmi (Ketua Pusat Pengajian ‘Management Accounting and Finance’), and Dr. Seri Ayu Masuri Md Daud (Pensyarah Sumber, Kursus Kajian Kes Bersepadu – MAF671).
Lawatan ini merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan sempena lawatan 7 hari delegasi UiTM itu ke Fakulti Ekonomi, Universitas Singaperbangsa Karawang (UNSIKA), Indonesia. Projek sukarela antarabangsa yang dijalankan dengan kerjasama UNSIKA itu bertujuan memberikan sokongan dan keceriaan kepada kanak-kanak yang memerlukan.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa lawatan ini adalah bertemakan pendidikan kewangan. Anak-anak yatim dan asnaf di Rumah Harapan berpeluang menonton siri animasi popular Upin Ipin yang bertajuk “Mari Menabung”. Siri animasi tersebut memberi pengajaran tentang kepentingan menabung dari usia muda. Selepas itu, kanak-kanak Rumah Harapan mengambil bahagian dalam pertandingan menghias tabung secara berkumpulan. Mereka dengan penuh kreativiti menghias tabung simpanan menggunakan kertas warna, stiker, dan pelbagai alatan perhiasan lain yang disediakan oleh delegasi UiTM. Aktiviti ini dipercayai dapat memupuk minat dan kebiasaan menabung di kalangan anak-anak di Rumah Harapan.
Pelajar UiTM turut memberikan penerangan ringkas tentang kepentingan menabung sejak kecil. Mereka berkongsi cerita dan pengalaman peribadi tentang tabungan, serta memberikan nasihat praktikal mengenai cara menabung secara berdisiplin. Dalam usaha untuk memberi sokongan yang lebih berkesan, anak-kana yatim dan asnaf Rumah Harapan juga diberikan duit saku untuk memulakan tabungan peribadi mereka.
Selain itu, kuiz teka binatang juga diadakan untuk meningkatkan pengetahuan kanak-kanak dalam bidang sains dengan cara yang menyeronokkan. Pemenang kuiz menerima hadiah dan saguhati yang sedikit sebanyak telah membawa keceriaan kepada anak-anak Rumah Harapan.
Prof. Madya Dr. Tuan Zainun Tuan Mat, selaku Timbalan Dekan (Akademik) dan ketua delegasi UiTM, telah menyampaikan sumbangan tunai sebanyak RM2,500 kepada Rumah Harapan, bagi mewakili Dekan dan seluruh warga Fakulti Perakaunan. Sumbangan ini diharapkan dapat membantu memenuhi keperluan asas dan memberikan sokongan kewangan kepada rumah anak yatim dan asnaf tersebut. Mudah-mudahan sumbangan tersebut akan memberi impak yang positif dalam meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan kanak-kanak yang berada di Rumah Harapan.
Lawatan ini tidak hanya memberi manfaat kepada kanak-kanak di Rumah Harapan, tetapi juga memberikan pelajar dan pensyarah UiTM pengalaman yang berharga dalam memberikan dan berkongsi kebahagiaan dengan mereka yang memerlukan. Projek sukarela antarabangsa ini menunjukkan komitmen UiTM dalam menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat dan memupuk semangat kepedulian sosial di kalangan pelajar dan pensyarahnya.