Pelajar B40 UiTM Cawangan Sarawak Menerima ‘Tablet’ Dalam Majlis Penyerahan Peranti Siswa Dan Perasmian Food Bank UiTM Cawangan Sarawak

Seiring dengan peredaran masa dan peningkatan kemajuan teknologi pada masa kini, penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan mampu membantu melonjakkan prestasi dan celik teknologi dalam kalangan mahasiswa. Justeru itu telah menjadi satu keperluan untuk setiap mahasiswa bagi mempunyai sebuah peranti untuk mengikuti pembelajaran dengan lebih berkesan. Peranti Siswa Keluarga Malaysia merupakan inisiatif daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi melalui Belanjawan 2022.

Seramai 800 orang pelajar UiTM Cawangan Sarawak telah layak menerima peranti siswa ini. Pelajar ini terdiri daripada keluarga B40 yang sedang mengikuti pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa dan tidak pernah menerima bantuan peranti daripada mana-mana program di bawah Kerajaan. Setiap permohonan Peranti Siswa akan ditapis mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Setiap pemohonan yang layak bakal menerima model terkini tablet Samsung yang dilengkapi dengan pelindung, papan kekunci dan stylus pen.

Dalam majlis yang sama, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri menyampaikan sumbangan Food Bank Siswa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Program Food Bank Siswa adalah satu inisiatif kesinambungan daripada Program Food Bank Malaysia. Program ini bertujuan untuk membantu golongan mahasiswa dari keluarga golongan B40 supaya mereka dapat memberi tumpuan yang lebih baik terhadap pembelajaran. Cetusan program ini juga adalah susulan daripada Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) 1 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 15 Februari 2019.