Tiga Pensyarah Fakulti Pendidikan Berperanan sebagai Panelis Forum Atas Talian anjuran Greenwich University Pakistan-Mauritius
Tiga orang pensyarah kanan Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Puncak Alam, telah dijemput sebagai panelis sesi forum atas talian yang dianjurkan oleh Greenwich University Pakistan-Mauritius. Dr. Sharifah Muzlia Syed Mustafa, Dr. Hamimah Hashim dan Dr. Fatin Aliana Mohd Radzi, merupakan pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, telah muncul di dalam forum Academic Research Writing yang dipertontonkan secara atas talian kepada para pelajar pascasiswazah universiti berkenaan.
Forum atas talian ini membincangkan perkongsian yang terperinci berkaitan dengan rekabentuk penyelidikan, etika dan isu plagiat dalam penulisan, serta pemahaman terhadap penyelidikan kuantitatif dan kualitatif. Kepakaran ketiga-tiga panelis Fakulti Pendidikan di dalam bidang masing-masing serta portfolio yang dipegang di fakulti menjanjikan input yang bermakna dan bermanfaat kepada para peserta. Dr. Sharifah Muzlia Syed Mustafa merupakan Koordinator Program Pascasiswazah Penyelidikan; Dr. Hamimah Hashim selaku Ketua Pusat Pengajian Jabatan Pengajian Pendidikan; dan Dr. Fatin Aliana iaitu Koordinator Program Pendidikan Awal Kanak-kanak; mampu memberikan perspektif yang menarik di dalam perbincangan tentang penulisan ilmiah. Forum turut disertai panelis keempat iaitu Kolonel Dr. Elias Kamaruzzaman, saintis dan penyelidik bebas; dan sesi tersebut dimoderasikan oleh Shazia Nasir, Head School of Linguistics, Fakulti Sains Sosial, Greenwich University.
Sesi perkongsian ilmu ini pastinya meningkatkan ketampakan Fakulti Pendidikan, khususnya, dan UiTM, amnya, di arena akademik global; di samping meningkatkan penguasaan kemahiran penulisan ilmiah di kalangan para pelajar pascasiswazah Greenwich University Pakistan-Mauritius. Tahniah dan syabas diucapkan kepada ketiga-tiga pensyarah berkenaan.