Pameran Teknologi IR4.0 yang berlangsung selama tiga hari dari 4 hingga 6 November bersempena dengan acara Open Day and Talent Hunt @ College of Computing ,Informatics and Media 2022 di UiTM Shah Alam ini telah dikunjungi hampir lebih daripada 3200 orang pengunjung yang terdiri daripada pelajar-pelajar Diploma, Matrikulasi, Politeknik, alumni, komuniti setempat dan lain-lain lagi.
Pameran teknologi IR4.0 yang juga dikenali sebagai Immersive Experience Environment ini telah mengetengahkan sebanyak 9 buah makmal di sekitar bangunan Kompleks Al-Khawarizmi, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM). Ia bertujuan memperkenalkan teknologi-teknologi serta perisian-perisian terkini yang digunakan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di dalam beberapa bidang terkehadapan di KPPIM seperti Keselamatan Siber, Analitik Data Raya, Perisikan Siber, Kepintaran Buatan, Teknologi Rangkaian Pengkomputeran Awan, Pemodelan Matematik, Sains Aktuari, Sains Maklumat dan Komunikasi dan Media, dan lain-lain lagi.
Di antara pengisian-pengisian menarik di pameran teknologi IR4.0 ini ialah demonstrasi proses digital forensik menggunakan peranti yang telah mendapat pengiktirafan industri, papan pemuka Covid-19 dan ramalan pencemaran udara menggunakan analitik data raya, pembelajaran matematik secara interaktif dalam talian dan 3D menggunakan aplikasi Mobius dan pengecaman imej menggunakan kepintaran buatan. Projek-projek inovasi pelajar-pelajar tahun akhir yang telah memenangi anugerah seperti IEEE Award, teknologi imersif menggunakan peranti realiti maya, dan lain-lain lagi turut dipamerkan.
Para pengunjung telah berpeluang untuk mengenali teknologi-teknologi ini secara langsung dengan lebih dekat dan juga telah berpeluang mencuba sendiri teknologi canggih seperti hologram dan peranti realiti maya Oculust Meta Quest yang mengadunkan dunia fizikal dan digital. Sementara itu, para pengunjung terutamanya kanak-kanak juga dihiburkan dengan penampilan Iron Man. Topeng adiwira tersebut berfungsi menggunakan teknologi pengecaman suara. Mereka juga berpeluang bermain sambil mempelajari pengaturcaraan menerusi Minecraft Education.
Secara keseluruhannya, para pengunjung amat teruja dan berpuas hati dengan pengisian-pengisian yang telah disediakan. Pameran teknologi ini telah membuka mata dan minda pengunjung di mana di antara mereka baru pertama kali berpeluang mendapat pendedahan kepada teknologi-teknologi terkini ini secara langsung. Selain itu, terdapat pengunjung pameran teknologi ini menyatakan hasrat pengunjung untuk melanjutkan pelajaran mereka di Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media