Program Pelajar Bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM) Berjaya Dilaksanakan

Program bersama pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diketuai oleh Puan Liyana Amirah Lokman selaku Pegawai Unit Operasi, SSM Cawangan Temerloh Pahang telah berjaya dilaksanakan di bawah anjuran bersama Malaysian Academy Of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) dan Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP) UiTM Cawangan Pahang pada 4 November 2022. Program ini merupakan salah satu program Siri Ceramah Keusahawanan yang melibatkan pelajar sebagai peserta dari dua kod subjek yang berbeza iaitu kod subjek ENT300 (Fundamentals of Entrepreneurship) dan ENT530 (Principles of Entrepreneurship). Program ini dijalankan secara hybrid iaitu melibatkan seramai 500 penyertaan pelajar secara bersemuka dan atas talian melalui platform WEBEX.

Objektif utama program pelajar bersama SSM ini adalah untuk memberi pengetahuan dan maklumat yang tepat berkaitan fungsi SSM sebagai satu agensi yang berperanan penting dalam penubuhan perniagaan. Pendedahan awal ilmu keusahawanan dan aktiviti perniagaan sangat penting bagi pelajar sebagai persediaan untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Walaubagaimanapun, dalam waktu yang sama pihak SSM juga membuka booth pendaftaran syarikat kepada pelajar yang mengambil kod subjek ENT530 (Principles of Entrepreneurship). Pendaftaran syarikat merupakan keperluan bagi subjek ENT530 (Principles of Entrepreneurship) untuk pelajar menjalankan aktiviti perniagaan sepertimana ada di dalam silibus subjek. Insentif pendaftaran secara percuma ditawarkan kepada pelajar, disamping kelulusan segera permohonan pendaftaran perniagaan pelajar.

Program ini bukan sahaja tertumpu kepada satu hala komunikasi, malah pihak SSM membuka ruang pertanyaan kepada pelajar dalam sesi soal jawab yang mana merancakkan lagi aktiviti program. Pelbagai persoalan daripada pelajar dapat merungkai beberapa permasalahan dalam isu pendaftaran syarikat. Diharapkan program ini memberi manfaat maksimum kepada kedua-dua pihak, iaitu SSM dan pelajar.

Selaku penganjur program, MASMED dan FPP UiTM Cawangan Pahang sangat berpuashati dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar, selain pelajar dapat memperolehi pengetahuan dan pengalaman secara langsung dari pihak SSM. Melalui maklumbalas secara verbal, pelajar juga berpuas hati dan teruja dengan input dan pemahaman yang diberikan oleh pihak SSM. Program sebegini akan terus dilaksanakan pada semester akan datang.

OLEH: NORMILIA ABD WAHID, MAISARAH ISHAK, NURHANI IZZATI MOHD HANIFAH, MUHAMMAD ZAHRAN ABD RAHMAN, SITI AISHAH MOHAMAD, MOHD FAIZAL AZRUL AZWAN MOHAMED@CHE HARUN, ILYANI AZER