SHAH ALAM, 13 JANUARI 2023 – Sukacita dimaklumkan Galeri Seni KPSK, bertempat di Aras 5, Kompleks Ilham, UiTM Shah Alam kini dibuka secara rasmi kepada pihak awam secara percuma. Selain di Kompleks Ilham, Galeri KPSK juga mempunyai premis di Kompleks Alam Bina, UiTM Puncak Alam.
Dr. Mohd. Jamil Mat Isa, Ketua Galeri KPSK memaklumkan pelbagai siri pameran telah dijadualkan untuk berlangsung di premis-premis tersebut sepanjang 2023 sebagai satu langkah proaktif KPSK ke arah mendidik warga awam berkaitan penghayatan seni.
Pameran pertama yang dipamerkan adalah seperti berikut:
Nama program : Pameran Catan Figura, Figura Dalam Catan
Tempat : Aras 5, Kompleks Ilham, UiTM Shah Alam
Tempoh pameran : 3 Januari – 28 Februari 2023
Kurator Pameran : En Mohd Fazli Othman, Pensyarah Kanan, Program Akademik Seni Halus, Pengajian Seni Halus, KPSK, UiTM Shah Alam
Petikan teks Kurator:
Pameran Catan Figura, Figura Dalam Catan (CFFDC) ini membuka laluan baharu kepada generasi muda kini untuk ‘menelaah’ dan menghuraikan bahasa visual dengan penuh makna. Karya-karya yang dihasilkan dari era 70-an hingga 2019 ini memiliki keistimewaan tersendiri. Kepelbagaian genre figuratif ini memberi panorama baharu terhadap penghayatan seni. Impak sosial positif dan kewajaran karya-karya ini dipertontonkan memberi ruang yang sangat bermakna setelah beberapa dekad karya-karya ini diperap tanpa dinilai oleh peminat seni.
Catan-catan koleksi tetap Galeri Seni KPSK (dahulunya Galeri Seni FSSR) dipamerkan secara kronologi untuk melihat perubahan catan figura “stail ITM/UiTM”. Sebanyak 52 catan dipamerkan untuk dihayati dan dikaji oleh warga UiTM khasnya dan peminat seni lukis amnya.
Nota:
Galeri Seni KPSK, Aras 5 Kompleks Ilham beroperasi mengikut waktu pejabat. Untuk melawati galeri ini, tuan / puan boleh meletakkan kereta di pekarangan parkir kereta yang berdekatan seperti di Bangunan Budisiswa, Dewan Seri Budiman atau Parkir Bertingkat, dan seterusnya berjalan kaki ke Kompleks Ilham berikutan kawasan parkir yang terhad.