Pada awal Februari 2022 yang lalu, sekumpulan penyelidik daripada Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan satu sesi webinar kepada para pelajar Semester 1, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka). Sesi perkongsian yang bertajuk “ODL: CABARAN DAN PENYELESAIAN” itu telah disampaikan oleh Dr. Nor Hidayatun Abdul Razak, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan di platform Cisco Webex Meetings.
Sesi perkongsian webinar tersebut telah dianjurkan oleh para pensyarah daripada Fakulti Pengurusan dan Perniagaan yang terdiri daripada Puan Norlaili Harun, Puan Noorsuraya Mohd Mokhtar, Dr. Nor Hidayatun Abdul Razak, Puan Musramaini Mustapha dan Dr. Siti Fazilah Hamid. Webinar tersebut telah dihadiri oleh kira-kira 100 orang pelajar Semester 1, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang.
Antara objektif webinar tersebut diadakan adalah untuk meningkatkan kefahaman pelajar tentang cabaran ketika menjalani kuliah secara atas talian dan memberi motivasi kepada para pelajar agar mereka dapat meneruskan pengajian sehingga bergraduat. Dr. Nor Hidayatun juga berkongsi tips bagaimana untuk menangani masalah yang timbul semasa kuliah dijalankan secara atas talian bersama para pelajar tersebut.
Program ini juga bersesuaian dengan Agenda Ke-4 dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) UiTM iaitu memberikan pendidikan yang berkualiti serta menjamin pendidikan menyeluruh dan equiti serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat kepada semua.