Nota Persefahaman di antara Kolej Vokasional Sepang dan Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang

SEPANG, 17 Mac 2023 – Kolej Vokasional Sepang (KVS) dan Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang (UiTMCPh) telah mengadakan Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NOU) yang melibatkan kolaboratif industri dan IPTA bertempat di Dewan Al-Jazari, Kolej Vokasional Sepang.

Pihak KVS diwakili oleh Pengarahnya, En Supian bin Abdul Kadir, UiTMCPh diwakili oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor PJI UiTM Pahang manakala Muhibbin Group Sdn Bhd diwakili oleh Pn. Nurul Fatihah binti Zulkifli, Pengurus Sumber Manusia.

Tujuan kerjasama ini diadakan adalah untuk meningkatkan perkongsian kemahiran, kepakaran dan ilmu berkaitan bidang khususnya dalam memperkasa sistem pendidikan TVET.

Program dimulakan dengan Majlis Menandatangani NoU kemudian disusuli dengan Hari Bicara Akademik di mana ibu bapa bertemu dengan guru kelas dan juga guru mata pelajaran vokasional bagi membincangkan tentang prestasi pelajar.

Satu sesi perbincangan di antara wakil Fakulti Perakaunan UiTMCPh dan guru-guru kelas perakaunan KVS turut diadakan berkenaan aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan antara kedua-dua pihak, antaranya lawatan penandaarasan, pengajaran kolaboratif, perkongsian teknik pengajaran, kursus jangka pendek dan sebagainya.