Nilai Kebersamaan ‘Keluarga Malaysia’ Melalui Sukan

Mengharungi saat getir dan perit kehidupan dalam suasana pandemik COVID-19 adalah tidak mudah bagi segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Justeru itu nilai kebersamaan sebagai sebuah ‘Keluarga Malaysia’ dalam mengharungi cabaran pandemik ini amat penting dalam usaha kearah kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, sebagai salah satu usaha dalam menyahut seruan ‘Keluarga Malaysia’ ini satu program berbentuk kemasyarakatan melalui medium bersukan telah dilaksanakan. Program dikenali sebagai July Get-Fit Booster (Virtual Exercise) ini telah diadakan pada 10 sehingga 25 Julai 2021 oleh sekumpulan pelajar Fakulti Sains Sukan Cawangan Samarahan di bawah seliaan pensyarah fakulti berkenaan. Program ini merupakan usaha pelajar dan pihak warga akademik dalam mendekati dan memberi bantuan insaniah dalam bentuk bersukan kepada lapisan masyarakat.

Objektif program ini adalah untuk memberi bantuan sokongan dan meringankan tekanan kehidupan yang dialami masyarakat dalam keadaan pandemik ini dengan melakukan aktiviti sukan. Ianya secara tidak langsung membuka ruang bagi pihak masyarakat untuk melakukan aktiviti yang memberi kesan yang baik kepada kesihatan diri dan minda mereka. Program ini juga bermatlamat untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dalam menyedia serta melaksanakan aktiviti senaman bersama pelbagai lapisan masyarakat. Selain itu, program ini juga menjadi wadah kepada para pelajar untuk melakukan aktiviti berbentuk kemasyarakatan yang penuh dengan nilai insaniah dan keprihatinan terhadap kesihatan diri dan minda masyarakat.

Program yang dianjurkan ini yang melibatkan seramai 70 orang pelajar telah dapat memanfaatkan kira-kira 100 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ianya telah dilaksanakan secara maya menggunakan medium ‘google meet’ dalam mematuhi segala prosedur operasi standard yang telah ditetapkan pihak berkuasa. Aktiviti senaman berintensiti rendah ke sederhana telah dilaksanakan bagi mengelak dari sebarang risiko kecederaan dan perkara yang tidak diingini. Aktiviti senaman telah dijalankan setiap hari dalam masa 30 minit ke 45 minit untuk setiap sesi selama dua minggu dan penyertaan adalah percuma. Beberapa kumpulan pelajar telah dibentuk dan setiap kumpulan pelajar adalah bertanggungjawab untuk sekurang-kurangnya satu sesi senaman. Sijil telah disediakan dan diberikan kepada semua pihak berkenaan iaitu pihak penganjur dan para peserta yang menyertai program tersebut.

Keunikan program ini boleh dilihat dalam usaha murni menggunakan medium bersukan dalam memupuk nilai kebersamaan dan bersatu hati ‘Keluarga Malaysia’ dalam menyusuri kehidupan yang penuh kesukaran semasa pandemik COVID-19 ini. Selain itu aktiviti yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi kebaikan kearah memupuk kesedaran tentang pentingnya bersukan dan bersenam bagi mendapatkan kesihatan diri dan minda yang sihat untuk dapat terus bersama berjuang menghadapi cabaran pandemik COVID-19 demi negara tercinta.