Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan secara harfiah meletakkan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Malaysia tidak boleh diasingkan lagi dengan agama tauhid yang sudah lama membumi kesan penyebaran yang digerakkan oleh pedagang-pedagang Arab pada zaman kegemilangan Melayu. Sejarah mencatatkan Tanah Melayu berasimilasi dengan Islam sehingga kesannya sekarang mempunyai peruntukkan jelas tentang kedudukan utamanya sebagai agama Persekutuan. Antara perlembagaan awal yang wujud di Malaysia adalah Perlembagaan Negeri Johor pada tahun 1895 dan Perlembagaan Negeri Terengganu 1911 di mana masing-masing memaktubkan Islam adalah agama negeri. Garis masa untuk menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan adalah panjang dan dengan liku-liku cabaran. Pada awalnya cadangan untuk mengisi ruang dalam perlembagaan dengan meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan yang dicadangkan oleh Parti Perikatan tidak dipersetujui oleh Raja-Raja kerana menurut Duli-Duli Tuanku, Islam sudah tersemat menjadi urusan negeri dan perlu kekal di bawah kuasa Raja negeri masing-masing. Oleh disebabkan Raja-Raja tidak bersetuju, maka usul memasukkan Islam dalam perlembagaan tidak dibincangkan oleh Suruhanjaya Reid. Namun kesulitan ini akhirnya diselesaikan dan terwujudlah juga Islam sebagai agama bagi Persekutuan dalam perlembagaan setelah mendapat persefahaman antara Raja-Raja dengan kepimpinan Parti Perikatan. Lain daripada itu, kepentingan orang bukan Islam tidak dipinggirkan sama sekali.
Semangat membina identiti masyarakat majmuk berlandaskan surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. Maka nasib orang-orang bukan Islam diambil kira supaya tidak ada sifat bimbang mengenai Islam menjadi agama Persekutuan. Oleh itu, diletakkan juga agama lain boleh diamalkan dengan syarat aman dan damai.
Kesan kedudukan utama Islam dalam pada masa yang sama agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai memberi keseimbangan hak kepada setiap warganegara Malaysia yang menerapkan keagamaan dalam diri sendiri. Di samping itu melihat juga Perkara 11 perlembagaan yang memperuntukkan kebebasan beragama. Kebebasan beragama ini hendaklah dibaca dan difahami dengan jelas bahawa kebebasan yang diberikan tidaklah secara mutlak. Tamsilnya, Perkara 11 Fasal(4) membenarkan undang-undang untuk mengawal atau menyekat pengembangan agama lain kepada orang yang menganuti agama Islam (Muslim). Hal ini dinyatakan dengan jelas dan perlu akur oleh semua pihak bahawa kemasukan perkara berkaitan dengan agama Islam bukan semata-mata untuk meletakkannya sahaja malah kesucian Islam itu turut dijaga dengan penuh tertib.
Dasawarsa ini, masyarakat sering kali berbalah atau berbeza pendapat sama ada negara ini adalah negara Islam atau bukan. Merujuk semula Perkara 3, perkataan yang digunakan sangat unik dan berbeza dengan perkataan yang digunakan dalam Perkara 152 Fasal(1) yang menyebut “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen…”, manakala Perkara 3 Fasal(1) berbunyi “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan” yang mana dianggap sebagai satu semboyan bahawa negara ini mempunyai agama yang menjadi tunjang kepada falsafah atau ideologi negara (Islam Dalam Perlembagaan Malaysia, 2005:12). Menariknya lagi, perlembagaan menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam di negerinya sendiri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja iaitu Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak. Kedudukan ini selayaknya disandang oleh baginda Raja-Raja kerana sifat atau kelayakan waris yang akan diangkat menjadi Raja adalah mestilah berketurunan Melayu dan beragama Islam. Malah struktur di peringkat Persekutuan dari tahap Perdana Menteri dan kabinet tidak semestinya disandang oleh orang Melayu Islam.
Menurut Shamrahayu Ab. Aziz, peruntukan Perkara 3 adalah transmigrasi aturan Perlembagaan Negeri ke dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengabsah kedudukan istimewa agama Islam. Peneguhan yang tidak sepatutnya dipertikaikan kerana sudah termaktub dalam perlembagaan bertulis di peringkat Persekutuan yang hanya menimbulkan terma Islam berbanding terma agama-agama lain. Kemunculan Perkara 3 telah membuktikan Islam adalah agama bagi Persekutuan dan telah melumpuhkan tafsiran sekular yang memisahkan antara agama dengan pentadbiran. Sebutan “ialah” pun sudah menjadi satu representasi sejarah negara ini yang memerihalkan agama Islam menjadi tonggak kepada kehidupan masyarakat (Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan, 2019; 19-24).
Membawa kepada peruntukan seterusnya iaitu Perkara 11 yang memerihalkan tentang kebebasan beragama. Sesetengah golongan yang berdiri teguh menyatakan negara ini adalah negara bukan Islam sentiasa mengutarakan Perkara 11 ini. Kontradiksinya tidak membaca dan memahami secara komprehensif. Bersepakat mengenai tafsiran kepada Perkara 11 mengenai tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agama masing-masing dan ia tertakluk kepada Perkara 11 Fasal(4) yang berbunyi “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
Pada awalnya peruntukan ini adalah salah satu suara Raja-Raja yang mahu menjaga kesucian Islam tersebut dengan cara melindungi orang-orang Islam daripada murtad. Hal ini tercetus apabila pada awal kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, gerakan dan pengaruh komunis masih kuat menular. Komunis seperti yang kita faham, ia adalah sebuah ideologi yang menolak konsep ketuhanan dan keagamaan malah menolak sistem pemerintahan beraja (mahu menubuhkan negara republik). Jelas disini ideologi komunis tidak sesuai dinormalisasikan di Tanah Melayu maka dengan itu peruntukan Perkara 11 (4) diwujudkan bagi melindungi orang-orang Islam daripada murtad dan mengikuti dakyah komunis (Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan, 2019:46). Perkara 11 (4) juga melindungi orang Islam daripada melakukan kekufuran yang meletakkan diri dalam golongan yang rugi. Satu contoh kes yang telah berlaku baru-baru ini dimana seorang wanita Sarawak gagal memulakan semakan kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meminta Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan membatalkan namanya dari Daftar Mualaf. Kes ini berpunca apabila beliau telah memeluk agama Islam kerana ingin berkahwin dengan seorang lelaki Melayu Islam, tetapi perhubungan mereka berakhir tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah. Oleh itu, wanita terbabit mahu murtad atau kembali semula kepada agama asal yang dianutinya. Namun tidak berjaya membuat semakan akan hal itu kerana menurut mahkamah, ia melanggar Perkara 121(1A) perlembagaan yang mengatakan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa dalam apa-apa perkara yang termaktub dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah (Berita Harian: 21 Sept. 2023).
Tafsiran negara ini adalah negara sekular adalah kerana mereka memetik kenyataan pada Kertas Putih Draf Perlembagaan dan kenyataan Tunku Abdul Rahman yang menyatakan negara ini bersifat sekular serta merujuk kepada kes Che Omar bin Che Soh lwn Public Prosecutor (1988) 2 MLJ 55. Walhal kalau kita teliti kembali kenyataan Kertas Putih Perlembagaan, tidak ada sekalipun perkataan sekular termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dari awal kewujudannya hingga sekarang. Meskipun Tunku Abdul Rahman menyatakan negara ini adalah negara sekular dan peruntukan Islam hanyalah bagi tujuan rasmi negara sahaja, kenyataan Tunku tidak sama sekali menjejaskan kedudukan sebenar perlembagaan yang tidak menyebut perkataan sekular (Berita Harian; 29 Mac 2023). Manakala keputusan bagi kes Che Omar bin Che Soh tidak menetapkan secara penuh sifat sekular negara ini kerana ia sekadar memutuskan kesahan undang-undang walaupun bercanggah dengan undang-undang Islam (Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan, 2019: 41-42). Jangan ditepikan beberapa kes yang menafsirkan kedudukan istimewa Islam, antaranya kes Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah & Anor, (2004) 2 MLJ 119 dan Meor Atiqulrahman Ishak & Yang lain v Fatimah Sihi & Yang lain (2000) 1 CLJ 393.
Sejajar dengan itu, Perkara 3(4) menyatakan tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ditafsirkan oleh sebahagian pihak bahawa ia menjelaskan peruntukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan tidak mempengaruhi sifat sekular negara ini. Menurut Aziz Bari, peruntukan Perkara 3(4) terlalu umum dan ia kelihatan berfungsi membuat sekatan ke atas Perkara 3(1) serta tidak dianggap sebagai fasal yang mengatasi atau membatalkan peruntukan-peruntukan lain. Persoalannya, adakah peruntukan ini cuba memanifestasikan syor Kertas Putih yang menyatakan bahawa kedudukan Islam tidak memberi apa-apa kesan kepada sifat sekular Persekutuan? (Islam Dalam Perlembagaan Malaysia, 2005:13). Shamrahayu Ab. Aziz pula mengatakan bahawa ada pihak yang berpendapat bahawa Fasal(4) ini merupakan antara sifat sekular negara kerana ia dilihat tidak membenarkan kesan Perkara 3 ke atas peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan. Fasal (4) ini tidak harus ditafsir dengan begitu mudah walaupun hanya bersandarkan kepada kenyataan yang diungkap oleh Tunku Abdul Rahman, Kertas Kerja Putih dan kenyataan sifat sekular negara ini oleh Hakim Abdul Hamid (ahli Suruhanjaya Reid). Sekular yang dinyatakan dalam dokumen serta proses rundingan tidak pernah dicurai oleh pihak-pihak yang menggunakannya. Kebenarannya, Suruhanjaya Reid tidak pernah membuat apa-apa komen mengenai perkataan sekular dalam bahagian laporan dan tidak pula memasukkannya ke dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya lagi, tidak ada penafsiran mengenai sekular dan sememangnya apa yang mudah dan secara umumnya difahami, sekular adalah pengasingan antara kuasa dan agama. Tafsiran ini terlalu enteng dan tidak disokong oleh mana-mana dokumen sejarah termasuklah dokumen yang menyiarkan proses penggubalan perlembagaan.
Menurutnya lagi, jika interpretasi ini diterima secara rambang, maka ia menafikan peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan Negeri-Negeri. Seterusnya ia menolak perihal sejarah yang memaparkan Islam sudah lama bertapak di Tanah Melayu dan telah menjadi hubungan erat dengan bangsa Melayu. Penjelasan kepada terma sekular boleh dianggap sebagai negara ini menolak sistem pemerintahan bercorak teokrasi di mana sistem ini berpegang dan melaksanakan undang-undang Tuhan yang dipimpin oleh orang agama secara mutlak. Seperti contoh negara yang mengamalkan sistem teokrasi ini adalah Vatikan yang dipimpin oleh seorang Paus (aliran Kristian Katolik) dan Iran yang dipimpin oleh seorang Pemimpin Agung atau Imam (aliran Syiah). Kupasan ini membawa maksud Malaysia sebuah negara beridentitikan Islam yang tidak ditadbir oleh seorang pemimpin agama secara mutlak. Seperkara lagi, sistem yang digunakan di negara kita adalah berlandaskan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang mengangkat Islam sebagai agama negara dan tidak menafikan hak penganut agama lain untuk mengamalkannya (Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan, 2019:34-36).
Imam Hanafi mencirikan negara Islam sebagai sesebuah negara yang dikuasai atau pemerintahnya adalah umat Islam (Politik Perspektif Islam (Siyasah Syar’iyyah), 2019: 95). Dalam menyokong ciri tersebut, melihat kepada Perkara 32 mentakrifkan Ketua Utama Negara bergelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa prosiding dalam mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas. Seperti yang disebutkan tadi, institusi Raja merupakan pemerintah tertinggi negara yang hendaklah berketurunan Melayu dan menganut agama Islam. Sementelahan, sistem demokrasi di Malaysia tidak menetapkan hanya orang Melayu beragama Islam sahaja yang boleh mentadbir, maka dengan itu pemerintahan terletak pada tanggungjawab Raja yang tidak terkesan dengan sistem demokrasi tersebut. Ciri tersebut sudah memadai bahawa negara Malaysia adalah negara Islam. Tambahan pula dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan mengenai sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong ada perkataan yang perlu disebut oleh baginda iaitu “…Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri”. Melihat kembali Perkara 3, urusan hal ehwal Islam ini secara terus berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong (sebagai ketua agama Islam di negerinya, Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya). Raja-Raja bagi tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan baginda sebagai Ketua agama Islam di negerinya sendiri setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri. Tertakluk kepada Perlembagaan Negeri, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati oleh baginda sebagai ketua agama Islam, tidak disentuh dan cacat akan tetapi dalam konteks perbuatan, amalan atau upacara boleh diwakili oleh baginda Yang di-Pertuan Agong atas persetujuan Majlis Raja-Raja untuk diperluas ke seluruh Persekutuan.
Jelaslah bahawa terma yang diguna pakai iaitu Islam ialah agama bagi Persekutuan tidaklah terencat disitu sahaja. Walhal ia berada dalam peranan kedudukan institusi Raja sebagai ketua agama Islam. Tidak logik mengatakan Islam hanya dikatakan untuk tujuan rasmi, padahal ia juga merangkumi sistem pemerintahan kita. Tidak semua institusi dalam sistem itu perlu dinamakan dengan perkataan Arab semata-mata ingin menunjukkan negara ini adalah betul-betul negara Islam. Wan Zahidi Wan Teh seorang pakar runding Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) berkata, “Ini kerana, istilah sekular sebenarnya tidak ada dalam bahasa Arab. Ia dilahirkan oleh pengkaji Barat yang membayangkan bagaimana mereka berjaya memisahkan diri dan pentadbiran negara daripada pengaruh gereja dan agama Kristian. Berdasarkan ciri-ciri yang ada di Malaysia, ia menepati ciri-ciri sesebuah negara Islam. Antaranya Malaysia adalah sebuah negara yang berada di bawah kuasa pemerintah orang Islam yang mana kekuatan dan pertahanannya berada di tangan umat Islam”, (Ciri-Ciri Sebuah Negara Islam: 2001).
Perlembagaan Malaysia berbeza dengan perlembagaan Negara India. Mukadimah sahaja sudah cukup untuk mentakrifkan bahawa negara India adalah negara sekular. Namun sekluar yang dimaksudkan oleh Dr. Dayal iaitu “Secularisme in the Indian context does not mean negation of all religions. It means equal respect for all religions” (The Constitution of India, 1983:43-44). Negara India tidak mengiktiraf mana-mana agama sebagai agama bagi negara dan melaksanakan dasar kesamarataan kepada semua agama yang dianuti oleh masyarakat India (Indian Polity and Governance-Constitution, Political System etc. Constitutional Development of India, 2022:24). Pindaan Perlembagaan India ke-42 telah menambah terma sekularisme pada bahagian mukadimahnya. Mukadimah perlembagaan menekankan bahawa negara ini adalah negara sekular dan ia memaparkan hasrat negara tersebut mengabsahkan kebebasan beragama dalam kalangan masyarakat. Terma sekular itu telah membezakan Negara India dengan negara-negara Islam yang lain terutama negara jiran mereka iaitu Negara Pakistan. Perkara 25 hingga 28 Perlembagaan India memperuntukkan hak kebebasan beragama dan hak kesamarataan kepada semua agama tanpa ada berat sebelah serta tidak ada cubaan melindungi mana-mana kepentingan penganut manoriti. Undang-undang tertinggi tersebut menetapkan kerajaan tidak akan sama sekali mencampuri urusan agama dan tidak menggunakan sebarang sumber kewangan untuk membiayai fasiliti atau upacara keagamaan tersebut (Indian Political System, 2013:8).
Jika dilihat dari sudut Perlembagaan Malaysia, sama sekali jauh bezanya dengan Perlembagaan India. Perbezaan yang pertama, India tidak memaktubkan nama mana-mana agama sebagai agama bagi negara dan kedua kerajaan tidak akan memperuntukkan mana-mana sumber kewangan untuk disalurkan kepada aktiviti keagamaan. Melihat peruntukan Perkara 12(2) yang menyatakan tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu. Jelaslah di sini, perlembagaan meletakkan kedudukan Islam itu sendiri amatlah ketara sekali berbanding dengan agama-agama lain. Ia tidak menyebut secara terperinci dibolehkan atau tidak kerajaan memberikan bantuan dalam bentuk kewangan kepada mana-mana institusi pendidikan agama lain, malah ditekankan kebenaran di peringkat Persekutuan atau Negeri memberi sumber hasil kewangan atau manusia bagi melaksanakan aktiviti agama Islam. Sejajar dengan itu, dalam Akta Pelajaran 1961 seksyen 36 dan 37 mewajibkan institusi pendidikan menerima bantuan daripada kerajaan dalam menjalankan pengajian Islam kepada penganut agama Islam dengan syarat bilangan pelajar tersebut tidak kurang dari lima belas orang (Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan, 2019:48).
Begitu juga dengan Perkara 150(6A) yang menyatakan kedudukan Islam ketika darurat tidak boleh diganggu oleh perwakilan Eksekutif (Parlimen). Peruntukan Perkara 150(6A) berbunyi Fasal(5) tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak; dan juga Fasal (6) tidak boleh menjadikan sah mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan ini yang berhubungan dengan apa-apa perkara sedemikian atau berhubungan dengan agama, kewarganegaraan, atau bahasa (Perlembagaan Persekutuan: 2020).
Wan Zahidi berpandangan status Malaysia sebagai negara Islam tidak akan tergugat waima undang-undang yang digunapakai terlihat kepada undang-undang berarahkan sekular. Beliau juga tidak bersetuju jika dikatakan negara Islam hendaklah melaksanakan sepenuhnya hukum-hukum Islam dalam bidang muamalat dan hudud. Hal ini memperlihatkan negara yang tidak melaksanakan hukum penuh Islam tidak semestinya ditafsilkan sebagai negara sekular. Dasar kerajaan Malaysia bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam daripada segala bentuk kefahaman yang sesat dan jahil serta membina tempat beribadah seperti masjid-masjid dan surau-surau sebanyak mungkin, tambahan melantik ahli jawatankuasa tempat berkenaan (Imam, Bilal dan lain-lain) untuk memudahkan masyarakat Islam mendirikan solat (Politik Perspektif Islam (Siyasah Syar’iyyah) 2019:96). Paling popular yang sangat dipertanggungjawabkan oleh pihak kerajaan adalah mengendalikan atau menguruskan urusan mengerjakan ibadah haji dan umrah sehingga mendirikan sebuah intitusi kewangan Islam iaitu Lembaga Tabung Haji. Peranan institusi berkanun di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) ini bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada orang Islam seperti menguruskan urusan haji, memberi peluang masyarakat Muslim menabung dan membuat pelaburan dengan selamat. Institusi ini juga memudahkan umat Islam mengerjakan ibadah haji serta tidak perlu risau kerana Tabung Haji akan mengurus semua perkara seperti pasport, visa haji, pengangkutan, penginapan di Makkah, Madinah dan Arafah serta menyediakan khidmat penjagaan kesihatan dan bimbingan ibadah haji (Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji, 2023).
Konklusinya, tidak dapat diterima oleh akal sekiranya sebahagian pihak mengeluarkan kenyataan bahawa negara ini adalah negara sekular hanya asbab Malaysia tidak mengamalkan hukum-hukum Islam secara sepenuhnya. Hujahan sekular yang digembar-gemburkan hanya akan menuju kepada penjelasan yang sempit serta tidak ekstensif. Perlu ketahui terlebih dahulu apakah sejarah sekularisme itu sendiri. Di Eropah, terdapat negara di mana golongan sekular hanya mementingkan duniawi sehingga meletakkan hak manusia melangkaui segalanya. Oleh itu, mereka menduga bahawa agama telah menyekat kebebasan hak manusia dan perlu dipisahkan dari sistem pentadbiran atau politik. Konsep sekular untuk pengetahuan umum, ia bertentangan dengan Islam. Islam adalah agama yang sempurna, mempunyai garis panduan pada setiap sudut kehidupan termasuklah berkaitan dengan pentadbiran. Segala apa jua tindakan yang dibuat oleh manusia, hendaklah berlandaskan syariat Islam yang paling utama iaitu menyembah Allah yang Maha Esa seperti firmanNya yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu”, (Surah adh-Dhariyat: 56). Malaysia sudah lama praktiskan penjagaan ummah dan memartabatkan agama Islam sehingga tertubuhnya institusi Islam antaranya seperti Jabatan Agama Islam di setiap negeri yang berperanan memelihara dan memulihara agama Islam. Contoh seterusnya, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang bertindak merancang dan menetapkan pembangunan Hal Ehwal Agama Islam, menggubal dan menyeragamkan Undang-Undang Syarak serta melaksanakan usaha-usaha pembangunan ummah seperti program dan lain-lain (Portal Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia: kemaskini 2023).
Secara keseluruhan, status negara Malaysia sebagai negara Islam tidak perlu dipertikaikan dan hendaklah menerima dengan hati yang terbuka. Tidak ada yang perlu dirisaukan status tersebut kerana Islam adalah agama “Rahmatan lil ‘alamin” yang bermaksud memberi kerahmatan, kedamaian serta kebaikan kepada seluruh alam semesta termasuklah manusia. Disertakan bukti dalam ayat suci al-Quran, Surah al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Sebagai umat Islam, perlu bersama-sama menggerakkan usaha bagi meningkatkan serta menyempurnakan lagi titik-titik kelemahan dan kekurangan untuk mendepani zaman yang kian mencabar ini (Politik Perspektif Islam (Siyasah Syar’iyyah), 2019: 98-104). Penyungguhan, Islam berada pada kedudukan yang istimewa dalam undang-undang utama negara yang tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja . Rakyat terutama sekali yang menganut agama Islam seharusnya mendukung aspirasi negara Islam yang berobjektifkan kemakmuran bersama tidak mengira apa jenis agama sekali pun. Sejarah membuktikan bahawa orang bukan Islam telah pun hidup dengan aman sentosa di bawah pemerintahan kerajaan Islam seperti yang pernah ditadbir oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W., empat orang Khalifah ar-Rasyidin dan pemimpin-pemimpin Islam di beberapa dinasti kerajaan. Ia menjadi role model kepada negara kita dan disebabkan itu Perkara 3 menolak sama sekali dakwaan sifat sekular negara serta tidak sama sekali menidakkan hak pengamalan agama lain disekalikan dengan konsep atau formula aman dan damai. Tidak ada manfaatnya kita katakan bahawa negara ini bukanlah negara Islam sedangkan kita mempunyai Raja pemerintah yang berperanan sebagai ketua agama Islam.