Shah Alam, 11 November 2022 – Umum mengetahui bahawa terdapat beberapa jenis Orang Kurang Upaya (OKU) seperti Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan, Kurang Upaya Fizikal, Masalah Pembelajaran, Kurang Upaya Pertuturan, Kurang Upaya Mental, dan Kurang Upaya Pelbagai. Pendekatan berasaskan hak atau rights-based dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU. Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (BHEP UiTM) yang diketuai oleh YBhg. Prof Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi bersama Naib Canselor UiTM telah membuat kunjungan mesra bersama pelajar OKU UiTM Shah Alam yang telah bertempat di Kolej Kediaman Perindu, UiTM Shah Alam.
Kunjungan mesra ini telah dihadiri oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor selaku Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd. Sazili Shahibi selaku Timbalan Naib Canselor HEP UiTM, barisan pengurusan Kolej Kediaman Perindu, barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam, serta barisan staf BHEP UiTM Shah Alam. Keterlibatan staf secara menyeluruh ini dapat memberikan impak positif dalam memudahkan pemantauan serta penjagaan kebajikan pelajar OKU UiTM secara tidak langsung dapat menunjukkan keprihatin serta sikap cakna pengurusan BHEP UiTM dalam menjaga pelajar UiTM.
Lawatan ini bertujuan mewujudkan hubungan dua hala antara pengurusan BHEP UiTM dan pelajar OKU serta menjadi medium berterusan bagi sesi suai kenal antara Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (HEP) bersama pelajar OKU secara fizikal. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat mewujudkan inklusiviti antara pihak pengurusan Unit Perkhidmatan OKU (UPO) dan pelajar OKU UiTM se-Malaysia di samping memberikan platform kepada pihak BHEP UiTM untuk lebih cakna dengan keadaan semasa pelajar OKU yang dijaga rapi oleh UPO UiTM. Dengan itu, pelajar OKU UiTM se-Malaysia boleh menyuarakan pandangan, pendapat, persoalan mahupun permasalahan yang boleh ditambah baik di peringkat BHEP UiTM khususnya secara langsung.
Hasil kunjungan mesra tersebut, pelajar OKU sangat aktif dalam memberikan respon tentang permasalahan yang dihadapi oleh mereka dan pihak BHEP juga mengambil maklum serta akan lebih bergiat aktif dalam membantu menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh mereka. Harapan YBhg. Naib Canselor UiTM agar pelajar OKU UiTM sentiasa berusaha sehabis baik dan berdaya saing dalam menjadi yang terbaik kerana ianya bukan satu halangan untuk berjaya malah satu motivasi untuk kita lebih baik daripada yang lain dan sentiasa hebat dalam memperbaiki diri dari ke hari seterusnya. BHEP juga sentiasa menyokong pelajar OKU dalam menceburi apa sahaja bidang yang diminati disamping berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.