4 -5 Mac 2020 – Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menutup tirai satu program iaitu National Allied Health Science Sports Event Selection 2020 (NAHSSE SELECTION 2020) yang mendapat sambutan yang amat memberansangkan dari para pelajar.
Program tahunan anjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UiTM ini bertujuan bagi mencari bakat pelajar dalam bidang sukan yang dipertandingkan dan menjadi wakil atlet bagi program NAHSSE, jemputan tuan rumah. Pada tahun ini, Universiti Islam Antarabangsa (UIA),sebagai tuan rumah menjadi tumpuan bagi semua wakil FSK universiti awam seperti Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA), Universiti Sains Malaysia(USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga UiTM sendiri untuk bertanding dan mewujudkan hubungan erat antara wakil fakulti. Disamping itu, program ini juga dijadikan sebagai salah satu alternatif bagi menyediakan para atlet dalam acara lain yang dipertandingkan seperti Sukan Antara Fakulti (SAF) dan Festival Mega Sports of Health Sciences (FEMOS).
Pelaksanaan program ini dijalankan oleh Sekretariat Mahasiswa Fakulti ,Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK) dan kerjasama antara persatuan dalaman bagi menerajui organisasi jawatankuasa sepanjang program berlansung.Oleh itu, ikatan antara persatuan-persatuan dalam dan juga SMF FSK dapat diperkukuh melalui kerjasama yang erat ini.Pengisian program yang berlangsung selama 2 hari ini merangkumi pelbagai aktiviti pemilihan pemain dalam pelbagai acara sukan untuk kedua-dua kategori lelaki dan wanita seperti futsal, bola tampar, badminton, ping pong dan bola keranjang. Selain itu pemilihan bola jaring dan catur juga dijalankan mengikut tentatif poster yang diwar-warkan.
Jumlah seramai 150 orang peserta berdaftar telah menyertai program ini .Tindakan proaktif badan pelaksana program yang menggalakkan pendaftaran penyertaan secara ‘walk-in’ juga disambut baik oleh pelajar, menjadikan anggaran kasar penyertaan pelajar sepanjang program ini melebihi jumlah yang direkodkan. Disamping sambutan yang baik, kebajikan para peserta program ini juga tidak dilupakan dengan komitmen badan pelaksana menyediakan makanan, minuman dan juga merit bagi setiap pelajar yang menyertai.
Melalui program NAHSSE SELECTION 2020 ini, banyak bakat baru sukan dalam kalangan mahasiswa diketengahkan menjadi pelapis sukan bagi menambah baik perwakilan atlet UiTM.Sehubungan dengan usaha program ini, para atlet yang mewakili UiTM dapat mengharumkan nama universiti ke arah kejayaan yang lebih baik seperti kejayaan NAHSSE pada tahun lepas di mana , UiTM dinobatkan sebagai naib juara.Oleh itu,diharapkan pada tahun ini para atlet dapat merealisasikan impian UiTM sebagai juara NAHSSE 2020 pula.
Foto berkaitan: