MoU UiTM Cawangan Kelantan Bersama dengan Pondok Tahfizul Qur’an Shah Amin, Medan, Indonesia

MEDAN, INDONESIA, 07 Mac – Telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UiTM Cawangan Kelantan bersama dengan Pondok Tahfizul Qur’an Shah Amin UMN Al-Washliyah yang merupakan sebuah Pondok Tahfiz Quran yang bergerak di bawah Yayasan Al-Washliyah, Medan Indonesia anjuran Fakulti Perakaunan dengan kerjasama Unit ICAN UiTM Cawangan Kelantan pada 29 Februari 2024.

MoU ini telah ditandatangani oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi (Rektor) dan disaksikan oleh Dr. Norzieha Mustapha, (Timbalan Rektor PJIA) bagi mewakili UiTM Cawangan Kelantan manakala bagi pihak Pondok Tahfizul Qur’an Shah Amin UMN Al-Wasiliyah pula telah ditandatangani oleh Dr. H. Anwar Sadat (Pengarah) dan disaksikan oleh Bapak Jumari (Penolong Pengarah) Pondok Tahfizul Qur’an Shah Amin UMN Al-Washliyah, Medan Indonesia.

Antara intipati yang terkandung dalam MoU ini adalah untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama dua hala di antara UiTM Cawangan Kelantan dengan Pondok Tahfizul Qur’an Shah Amin UMN Al-Washliyah dalam bidang akademik, penyelidikan dan program khidmat masyarakat.

Delegasi UiTM Cawangan Kelantan terdiri daripada Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi (Rektor), Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail (Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik), Dr. Norzieha Mustapha, (Timbalan Rektor PJIA), Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff, (Koordinator ICAN) dan juga Dr. Noor Marini Haji Abdullah serta Puan Rabaatul Azira Hassan, pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan yang juga merupakan pencetus kepada keterjalinan MoU ini di antara dua organisasi bagi dua buah negara. Turut hadir bersama 6 orang mahasiswa dari Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan dalam menjayakan aktiviti bersama Pondok Tahfizul Qur’an Shah Amin UMN Al-Washliyah, Medan Indonesia.