MODUL PROGRAM KEMAHIRAN INSANIAH SECARA ATAS TALIAN 2023 (E-MPK) ANJURAN SEKRETARIAT MAHASISWA FAKULTI, FAKULTI SAINS KESIHATAN UiTM CAWANGAN SELANGOR, KAMPUS PUNCAK ALAM SESI 2022/2023

PUNCAK ALAM, 26 Ogos 2023 – Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam Sesi 2022/2023 telah melaksanakan Modul Program Kemahiran Insaniah Secara Atas Talian 2023 (E-MPK) setelah hampir 3 tahun program ini tidak dijalankan. Program ini diadakan di ‘Microsoft Teams’ dan ‘Google Meet’ bermula pada pukul 9.00 pagi sehingga 6.00 petang dan telah disertai oleh Penasihat persatuan SMF, kakitangan Bahagian Hal Ehwal Pelajar FSK UiTM, 3 orang penceramah, 8 orang fasilitator, 2 orang Majlis Perwakilan Pelajar FSK sesi 2022/2023, 14 orang ahli jawatankuasa serta 411 orang mahasiswa tahun akhir FSK.

Objektif utama program ini adalah untuk membantu mahasiswa tahun akhir bersedia dengan dunia pekerjaan dan meningkatkan kemahiran-kemahiran insaniah. Selain itu, peserta juga dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri mereka berdasarkan maklumat dan aktiviti yang disediakan sepanjang program berlangsung. Penganjuran program ini merupakan satu langkah proaktif untuk membantu bakal graduan menunjukkan prestasi yang lebih baik semasa menjalani proses permohonan pekerjaan sekaligus meningkatkan keyakinan diri ketika menghadapi temuduga pekerjaan.

Program dimulakan dengan sesi ceramah daripada alumni-alumni UiTM iaitu Encik Mohd Hafifi bin Zulkipli untuk kumpulan ceramah 1, Puan Syahirah Hanim binti Jermadi untuk kumpulan ceramah 2, dan Encik Muhamad Syukri bin Mohamad Rafiuddin untuk kumpulan ceramah 3 melalui platform ‘Microsoft Teams’. Sesi ceramah ini dapat memberikan informasi yang bermanfaat dan berguna berkaitan ‘Endemic Phase Employment Trends’, ‘Top Soft Skills & Digital Skills’ dan ‘Using Social Media Effectively’ kepada para peserta.

Pada sesi petang pula, program diteruskan dengan slot Latihan Dalam Kumpulan, para peserta diagihkan kepada 8 kumpulan dan diketuai oleh barisan fasilitator-fasilitator yang juga merupakan kakitangan UiTM, iaitu Encik Fadzli Syadiqin bin Mohd. Yazid, Encik Herwan bin Sarom, Encik Muhammad Fathee bin MD. Bohari, Encik Razi Ikhwan bin MD. Rashid, DR. Ahmad Razali bin Ishak, Prof Madya DR. Ahmad Zamir bin Che Daud, Puan Nurhayati binti Nordin, dan Encik Muhammad Hafiz bin Mohd Ariff melalui platform ‘Google Meet’. Slot latihan dalam kumpulan ini mengguna pakai modul terkini dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM yang memfokuskan unit-unit ‘Bridging the Talent Gap’, ‘Jobseeker Essentials’, ‘Shout Your Talent’, dan ‘Ace Your Interview’ yang sememangnya berguna dan bermanfaat kepada peserta untuk dijadikan sebagai panduan dan ilmu tambahan untuk menghadapi temuduga serta penyediaan ke alam pekerjaan.

Melalui program ini, mahasiswa-mahasiswa tahun akhir dapat bersedia dengan dunia pekerjaan dan meningkatkan kemahiran-kemahiran insaniah dalam diri mereka. Pihak universiti juga dapat melahirkan lebih ramai graduan yang berkualiti tinggi dalam pasaran pekerjaan terutama dalam kalangan pelajar Fakulti Sains Kesihatan serta meningkatkan lagi imej institusi di peringkat lebih tinggi.

Secara keseluruhan, pihak Fakulti Sains Kesihatan berharap agar program ini dapat melahirkan mahasiswa yang berkualiti dalam aspek keyakinan diri, minda kreatif, pemikiran secara analitikal dan kritikal, serta menunjukkan prestasi yang lebih baik semasa menjalani proses permohonan pekerjaan, menghadapi temuduga pekerjaan dan menempuh alam pekerjaan.