MISA Orientation Day 2021

MISA Orientation Day 2021 telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) 2020, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam dengan matlamat untuk memberi pendedahan awal dan pengenalan tentang bidang Pengimejan Perubatan kepada mahasiswa baharu. Program ini juga bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara mahasiswa. Melalui program ini, mahasiswa dapat memantapkan pengetahuan tentang bidang Pengimejan Perubatan, memupuk sifat bekerjasama dalam kumpulan, serta mengasah kemahiran berkomunikasi.

Program ini telah berlangsung selama 2 hari iaitu pada 13 Oktober dan 14 Oktober 2021 menggunakan platform Google Meet dan Webex. Untuk makluman semua, seramai 69 mahasiswa baharu iaitu 20 daripada Diploma dan 49 daripada Ijazah Sarjana Muda telah menyertai program ini. Tidak dilupakan juga penglibatan daripada ahli jawatankuasa seramai 27 orang yang telah bersama-sama bertungkus-lumus bagi menjayakan program ini dengan cemerlang. Program ini juga tidak lengkap tanpa bantuan dan bimbingan daripada penasihat persatuan MISA, Puan Lyana Shahirah Binti Mohd Yamin, dan penasihat persatuan 2 MISA, Puan Khairunnisa Binti Abd Manan.

Pada hari pertama MISA Orientation Day 2021 sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) telah berlangsung selama dua jam iaitu bermula dari jam 8.00 malam hingga 10.00 malam. Sebelum bermulanya sesi LDK, mahasiswa baharu diberikan tugasan untuk mencari maksud istilah perubatan daripada mahasiswa lama. Sesi LDK dimulakan dengan sesi ‘Ice Breaking’ dan diteruskan dengan pelbagai aktiviti LDK. Seterusnya, sesi ini ditamatkan dengan taklimat majlis penutup kepada mahasiswa baharu. Sehubungan itu, aktiviti ini memberi impak yang positif dengan merapatkan hubungan silaturahim antara mahasiswa serta menambah serba sedikit ilmu pengetahunan kepada mahasiswa baharu.

MISA Orientation Day 2021 diteruskan lagi pada hari kedua dengan majlis penutupan program. Majlis ini dipengerusi oleh pengacara majlis, Ahmad Alif Bin Mohamed Zamri dan bacaan doa dipimpin oleh Afnan Syafiq Bin Alias. Setelah selesai bacaan doa, majlis diteruskan dengan ucapan daripada timbalan pengarah program, Nur Aainaa Dayana Binti Ghazali dan tayangan video ‘Puncak Alam Virtual Tour’. Seterusnya, presiden persatuan MISA, Nur Fatini Binti Indra Purwandita, dan Puan Khairunnisa Binti Abd Manan turut memberikan ucapan selamat datang dan kata-kata semangat kepada mahasiswa baharu. Akhir sekali, majlis ditutup dengan bacaan doa dan sesi fotografi bersama semua peserta.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjalan dengan jayanya dan mencapai matlamat yang diingini. Program ini juga telah memberi impak yang positif bukan sahaja kepada mahasiswa baharu, malah kepada ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menguruskan program ini iaitu mereka dapat memupuk sifat berkpimpinan dan bekerjasama dalam kumpulan. Diharapkan agar program MISA Orientation Day 2021 dapat sedikit sebanyak membantu mahasiswa baharu dalam menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran baharu.