Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor, 1 November 2021: Persatuan Pelajar Pemakanan dan Dietetik (NADA) koloborasi bersama Society of Pharmacy Students (SOPHYS) dan Kelab Dalaman Food Service Society (FSS) telah bekerjasama dengan sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan yang terkemuka, iaitu Malaysian Palm Oil Council (MPOC) telah menganjurkan program Minyak Sawit Malaysia: Kegunaan dalam Makanan dan Bukan Makanan pada 29 Oktober 2021, bersempena dengan sambutan Minggu MySawit Day. Program yang dijalankan atas talian ini telah menggunakan platfom Facebook Live. Majlis ini juga telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran para pelajar Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti farmasi, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, serta orang awam.
Program Minyak Sawit Malaysia: Kegunaan dalam Makanan dan Bukan Makanan ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar dan orang awam untuk mendalami kegunaan minyak sawit yang luas dan pelbagai dalam makanan dan bukan makanan. Termasuklah dalam pembuatan aiskrim, coklat, sabun, kosmetik, bahan bakar, dan sebagainya. Di samping itu, para penonton juga telah diberi penerangan bagaimana penyebaran agenda negatif daripada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab kepada masyarakat untuk meruntuhkan ekonomi eksport tempatan dalam sektor minyak sawit.
Seterusnya, para peserta juga telah menonton video tayangan tentang kebaikan dan kelebihan minyak sawit dalam kesihatan, termasuklah komponen-komponen kimia dalam struktur biji kelapa sawit. Malah, sepuluh orang hadirin bertuah juga berpeluang untuk memenangi buku resipi Palm to Plate melalui cabutan bertuah.
Dengan berlangsungnya program ini, diharap agar kesemua peserta memperoleh ilmu yang bermanfaat berkenaan minyak sawit daripada webinar tersebut. Semoga program ini dapat membanteras dakyah pihak tidak bertanggungjawab untuk meruntuhkan sektor minyak sawit tempatan dan meningkatkan lagi mutu taraf kesihatan rakyat Malaysia.