Kedah, 15 Februari 2024 – Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kedah telah berjaya menganjurkan Program MindaReka Design Show 2024. Program ini merupakan platform untuk pelajar tahun akhir program Diploma Seni Reka Grafik & Media Digital (diploma) dan Seni Reka Perindustrian (Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) mempamerkan hasil karya mereka kepada masyarakat umum.
Perasmian program oleh Profesor Dr. Shahriman Zainal Abidin (Penolong Naib Canselor (Pengantarabangsaan) UiTM Global), program ini mampu memperkenalkan kepada orang ramai kepelbagaian bakat dan keupayaan yang dimiliki oleh pelajar dalam bidang kreativiti. Dalam tempoh satu hari program, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk upacara perasmian, ceramah ‘Design Talk’ daripada pakar industri, serta aktiviti kelab pelajar yang memeriahkan suasana.
Menurut Pengerusi Program iaitu En. Asrol Hasan, tujuan utama MindaReka Design Show 2024 adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan Seni Reka Grafik & Media Digital dan Seni Reka Perindustrian dalam konteks pembangunan negara. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memperkukuhkan semangat dan keyakinan para pelajar dalam menghadapi cabaran sebagai pereka di masa hadapan.
Matlamat yang ingin dicapai melalui program ini termasuk memperkenalkan kursus Seni Reka Grafik & Media Digital dan Seni Reka Perindustrian kepada masyarakat umum, memberi pengetahuan serta panduan berkaitan dengan bidang rekaan, memupuk semangat dan motivasi kepada para pelajar, serta mewujudkan jalinan perhubungan di kalangan pelajar ini dari seluruh Malaysia.
Dalam konteks pembangunan ekonomi negara, program seperti MindaReka Design Show 2024 menjadi penting kerana ia turut membantu dalam mengetengahkan bakat-bakat kreatif yang mampu menyumbang kepada industri kreatif tempatan dan global. Melalui platform ini, pelajar-pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang mereka peroleh dalam pengalaman dunia nyata.
Diharapkan, program ini akan terus dijadikan platform yang memberi inspirasi dan motivasi kepada generasi masa depan untuk terus berkarya dan berinovasi dalam bidang seni reka. MindaReka Design Show 2024 bukan sekadar satu program, tetapi juga satu langkah ke hadapan dalam memartabatkan bidang seni reka di negara ini.