Mesyuarat Agong Tahunan ENGINES Siri 1/2023

SHAH ALAM – Pada 18 Ogos 2023, satu Mesyuarat Agong kali ke-2, siri 1/2023 bagi persatuan Engineering Postgraduate Society (ENGINES), Kolej Kejuruteraan, UiTM Shah Alam telah diadakan secara dalam talian melalui platform Microsoft Teams. Kehadiran mesyuarat ini adalah di kalangan penasihat persatuan dan juga jawatankuasa tertinggi dan exco persatuan ENGINES yang keseluruhan kehadiran berjumlah sepuluh orang.

Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk membentangkan hala tuju persatuan bagi tahun 2023 dan mengemaskini perancangan aktiviti pelajar yang telah dijalankan pada tahun 2022. Sehubungan dengan itu juga, mesyuarat ini bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan ENGINES yang baharu bagi sesi 2023/2024. Dimana, kepimpinan jawatankuasa tertinggi dan exco yang lama (sesi 2022/2023) telah dibubarkan pada mesyuarat dalaman yang telah diadakan pada 17 Mac 2023.

Mesyuarat ini berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 9.15 malam dimana ia dimulakan dengan kata-kata aluan daripada pengerusi mesyuarat serta merangkap sebagai Presiden Persatuan iaitu Muhammad Daniel Abdul Shahid dan dilanjutkan dengan pembentangan cadangan aktiviti bagi tahun 2023/2024. Kemudian, mesyuarat diteruskan dengan ucapan daripada Penasihat Utama Persatuan iaitu Prof. Madya. Dr. Sheila Belayutham. Dalam ucapannya, beliau mengharapkan penglibatan lebih ramai pelajar dari kalangan pelajar pascasiswazah kejuruteraan dalam aktiviti-aktiviti yang bakal diadakan memandangkan jumlah pelajar pascasiswazah kejuruteraan di UiTM Shah Alam adalah lebih kurang 1200 pelajar yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa. Beliau mengharapkan pucuk kepimpinan yang baharu ENGINES sesi 2023/2024 lebih komited dan mendapat sokongan daripada semua pelajar yang lain dan seterusnya membolehkan ENGINES lebih dikenali sekaligus dapat mengharumkan nama persatuan mahupun Kolej Kejuruteraan dan UiTM.

“Kolej Kejuruteraan di UiTM ini baru ditubuhkan pada tahun 2021, dimana ia mengabungkan keempat-empat bidang kejuruteraan di bawah satu bumbung, iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrik dan juga Kejuruteraan Kimia. Hasil daripada gabungan inilah persatuan ENGINES ini ditubuhkan pada tahun 2022. Ianya agak baharu, jadi usaha dan kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan bagi memperkenalkan ENGINES di kalangan pelajar pascasiswazah sendiri dan seterusnya menempa nama di peringkat yang lebih tinggi’ – kata beliau. Mesyuarat agong diakhiri dengan ucapan penutup dan sesi bergambar.