Mentor-Mentee: M2M FE Readiness Julai 2023

Program “Mentor-Mentee: M2M FE Readiness” merupakan satu program yang dianjurkan oleh Pengajian Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik & Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub khusus untuk pelajar Diploma Sains Komputer (CDCS110) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Program ini dilaksanakan pada minggu akhir setiap semester sebagai platform untuk pensyarah penasihat akademik (mentor) berjumpa dengan pelajar (mentee) masing-masing. Menjelang hujung semester, di minggu akhir kuliah merupakan tempoh yang kriktikal kerana para pelajar dibebani dengan pelbagai tugasan yang perlu selesaikan dan dihantar, termasuk pembentangan projek, ujian akhir, laporan tugasan, persediaan peperiksaan akhir dan sebagainya. Justeru itu, program ini memberi ruang dan peluang untuk pelajar berjumpa secara bersemuka dengan penasihat akademik untuk berkongsi masalah, cabaran dan dugaan yang dihadapi dan mendapatkan bimbingan dan nasihat yang sewajarnya dari penasihat akademik.

Pada semester sesi Mac – Julai 2023 kali ini, program Mentor-Mentee: M2M FE Readiness telah diadakan 5 Julai 2023 (Rabu) iaitu pada minggu ke-13 kuliah. Program ini bermula pada jam 6.30 petang bertempat di Medan Selara, UiTM Kampus Raub dan dimulai dengan aktiviti persediaan peperiksaan di mana setiap pensyarah penasihat akademik duduk dan berbual santai bersama dengan pelajar masing-masing secara berkumpulan untuk berkongsi tips menghadapi peperiksaan akhir. Pensyarah penasihat akademik juga membawa pelbagai juadah makanan untuk makan bersama pelajar. Sambil menikmati makan malam bersama-sama, pensyarah penasihat akademik juga mendapatkan maklumat terkini pelajar masing-masing berkaitan status subjek, pembelajaran terkini, markah penilaian berterusan, subjek yang sukar dipelajari, bantuan komunikasi bersama pensyarah mengajar, memberikan motivasi, persediaan menghadapi peperiksaan akhir, serta peringatan tatacara dan peraturan peperiksaan akhir dan hal-hal akademik yang lain. Sesi ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan bantuan pensyarah penasihat akademik berkaitan sebarang persoalan mengenai pembelajaran dan kelancaran dalam menghadapi peperiksaan akhir.

Aktiviti seterusnya dijalankan di Pusat Islam, UiTM Kampus Raub untuk sesi solat Maghrib berjemaah dan tazkirah motivasi berdasarkan konsep ESI-iDART dan kesejahteraan emosi yang disampaikan oleh Pensyarah ACIS, Dr. Mohd Nasir bin Ayob. Antara isi kandungan tazkirah motivasi adalah ilmu dan adab, amanah dalam menuntut ilmu, tanggungjawab sebagai seorang muslim dan pelajar dan membudayakan sikap rajin dan disiplin dalam diri. Selain itu, pelajar juga diingatkan sentiasa menjaga kesihatan rohani dan jasmani berpandukan al-Quran dan sunnah. Sesi tazkirah motivasi ini juga bertujuan menaikkan semangat para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh bagi menghadapi peperiksaan akhir dan meneruskan pengajian sehingga tamat dengan mendapat keputusan yang cemerlang. Seterusnya, solat Isyak berjemaah dan aktiviti kumpulan dijalankan, di mana pensyarah penasihat akademik sekali lagi berkumpul bersama pelajar untuk sesi Saringan Minda Sihat Dass-21 dan Study Skills Assessment. Tujuan saringan minda ini dijalankan bagi memantau keadaan pelajar dalam menghadapi peperiksaan. Selain itu, penilaian kemahiran belajar adalah bertujuan membantu pelajar mengenalpasti kemahiran terbaik dalam sesi pembelajaran bagi membantu pelajar belajar di saat-saat akhir dalam menghadapi peperiksaan.

Program berakhir pada pukul 10.00 malam dan ditutupi dengan sesi bergambar beramai-ramai. Program ini adalah sangat bermanfaat bagi memastikan pelajar mendapat persediaan mental dan fizikal yang baik serta bermotivasi sebelum menghadapi peperiksaan akhir. Program ini juga merupakan saluran terbaik bagi pensyarah penasihat akademik mengenalpasti masalah yang pelajar mereka dari segi mental, emosi, pembelajaran dan lain-lain. Selain itu, program ini membantu pensyarah penasihat akademik untuk mengesan kelemahan pelajar dalam matapelajaran dan menjadi pengantara antara pelajar dan pensyarah matapelajaran yang mereka lemah.

Terima kasih dan syabas kepada semua pelajar CS110 dan Jawatankuasa M2M: FE- Readiness di atas komitmen dan kerjasama bagi menjayakan program ini. Inshallah semoga program M2M dapat menyuntik semangat dan keyakinan kepada pelajar kita untuk terus cemerlang.🤲🏻👍🏻 Tahniah semua.

Disediakan oleh: Ana Salwa Shafie dan Siti ‘Aisyah Sa’adan