Setiap pelajar UiTM mempunyai penasihat akademik masing-masing. Tugas dan peranan penasihat akademik ialah membantu merancang pelan pengajian pelajar, memantau prestasi dan proses berkaitan dengan akademik (pendaftaran, validasi, perkuliahan dan peperiksaan) dan juga menjadi orang tengah antara pelajar dengan mana-mana pensyarah atau pegawai terutamanya berkaitan dengan isu akademik. Pelajar juga boleh meluahkan atau berkongsi masalah yang dihadapi bersama penasihat akademik. Menjelang hujung-hujung semester, di minggu akhir kuliah, pelbagai tugasan, cabaran dan dugaan yang telah dialami oleh pelajar.
Justeru, satu program iaitu MENTOR-MENTEE: M2M FE READINESS telah dilaksanakan agar memudahkan pelajar untuk berjumpa dengan penasihat akademik masing-masing. Program ini dianjurkan oleh Pengajian Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik & Media (KPPIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang khusus buat semua pelajar Diploma Sains Komputer (CS110) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.
Program yang berbentuk perjumpaan mentor-mentee ini telah berlangsung pada minggu ke-13 kuliah iaitu pada 20 Januari 2023 (Jumaat) dan antara jam 10 pagi hingga jam 4 petang. Masa perjumpaan antara penasihat akademik dan mentee masing-masing adalah mengikut temujanji yang telah dibuat dan dipersetujui antara mereka. Kebanyakan pensyarah mengadakan pertemuan ini di pejabat masing-masing, namun ada juga yang melaksanakan secara online kerana terdapat perkara yang tidak dapat dielakkan. Perjumpaan ini mengambil masa sekurang-kurangnya 1 jam.
Antara agenda yang telah dijalankan sepanjang sesi perjumpaan mentor-mentee ini ialah Penasihat Akademik telah menyampaikan maklumat penting berkaitan dengan peperiksaan akhir seperti Jadual Peperiksaan Akhir dan Status Keputusan Peperiksaan Akhir seperti status YY, XX dan ZZ. Memandangkan semester ini adalah semester pertama selepas 2 tahun peperiksaan akhir tidak dijalankan secara fizikal, maka penasihat akademik telah menekankan tentang peraturan dan perkara-perkara yang perlu dibawa sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir secara fizikal. Selain daripada itu, penasihat akademik juga berkongsi tips dan nasihat sebagai persediaan menduduki peperiksaan seperti sering membuat latihan, menjawab soalan peperiksaan terdahulu yang boleh didapati di EQPS, belajar berkumpulan dan bertanya kepada pensyarah sekiranya terdapat perkara yang tidak difahami.
Sedikit jamuan disediakan buat semua pelajar setelah sesi pertemuan ini berakhir. Pelbagai juadah yang berkonsepkan potluck telah disediakan oleh para pensyarah bagi meraikan dan memberi semangat buat pelajar dalam menghadapi minggu-minggu akhir kuliah. Program ini merupakan sebuah program yang sangat bagus untuk diteruskan kerana memberi ruang dan peluang buat pelajar untuk berjumpa penasihat akademik secara bersemuka dan berkongsi masalah dan sebagainya disamping sebagai persediaan mereka untuk menghadapi peperiksaan akhir nanti. Program ini juga adalah penting bagi memastikan pelajar mendapat persediaan mental dan fizikal yang baik serta bermotivasi sebelum menghadapi peperiksaan. Program ini juga merupakan saluran terbaik bagi pensyarah mengenalpasti masalah yang pelajar hadapi dari segi mental, emosi, pembelajaran dan lain-lain.