Mencakna Minda Moderator Sistem E-Aduan Agar Lebih Bersifat Proaktif

UiTM SHAH ALAM, 27 Februari 2024 – Julung kalinya Jabatan Komunikasi telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Sistem e-Aduan Bersama Moderator Seluruh Sistem UiTM yang bertempat di Dewan Mawar Qaseh, Kolej Mawar, UiTM Shah Alam. Program tersebut adalah merupakan siri pertama setelah pelaksanaan versi baharu Sistem E-Aduan sejak dari tahun 2022. Dengan jumlah seramai 217 orang moderator berdaftar dari seluruh sistem UiTM, maka Jabatan Komunikasi perlu memastikan pengurusan aduan dari setiap Pusat Tanggungjawab dapat diuruskan dengan baik berdasarkan tatacara dan prosedur yang betul.

Program tersebut menerima penyertaan yang menggalakkan dengan jumlah kehadiran peserta mencapai seramai 113 orang moderator dari 57 Pusat Tanggungjawab seluruh UiTM. Antara objektif utama yang ingin dicapai ialah memastikan seluruh moderator diberi pendedahan ilmu yang komprehensif berhubung pengurusan aduan yang berkesan dan membuka ruang kepada moderator untuk bersama berkongsi pengalaman sepanjang tempoh menguruskan aduan.

Pengarah Kanan, Jabatan Komunikasi iaitu Puan Ezurya Rathi mengulas mengenai kepentingan setiap Pusat Tanggungjawab untuk bertindak ‘proaktif’ pada setiap maklumbalas yang diterima. Ini adalah bertujuan untuk memastikan langkah tindakan penambahbaikan dilaksanakan segera bagi menjaga reputasi dan imej universiti.

Antara modul yang disediakan adalah lebih memberi fokus kepada elemen-elemen penting seperti amalan pengurusan aduan, penyediaan laporan aduan universiti dan pengenalan kepada penggunaan sistem e-aduan versi 2.0. Bagi memantapkan proses pengurusan aduan, setiap peserta telah didedahkan dengan sesi latihan ‘brainstroming’ yang jelas memberi impak serta membina tahap daya pemikiran peserta dalam kaedah penyelesaian masalah.

Kesimpulan dari hasil laporan maklum balas peserta juga telah menunjukkan tahap pencapaian mencecah 99% peratus yang memberi maklumbalas positif pada perkongsian ilmu dan memberi cadangan agar program tersebut diadakan lagi secara berkala.

Galeri Gambar: