MEMUPUK SEMANGAT KESUKARELAWANAN DIKALANGAN MAHASISWA MELALUI DAHLIA WOMEN EMPOWERMENT PROGRAM

Puncak Alam, 2 Disember 2023 – Buat untuk yang pertama kalinya, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Dahlia telah berjaya menyantuni seramai 20 orang pelatih Asrama Bahagia, Kuala Lumpur bersempena Dahlia Women Empowerment Program 2023.

Menurut Penasihat Program, SRK Nor Zaihan Binti Mat Hasan @ Mat Husin, pendekatan membawa pelatih-pelatih ini ke Kolej Dahlia merupakan sebahagian daripada usaha memupuk semangat kesukarelawanan dikalangan mahasiswa agar lebih prihatin dan berusaha mengurangkan jurang antara para pelatih dengan masyarakat. Para pelatih telah diterima baik dan dipasangkan bersama sukarelawan Kolej Dahlia yang diketuai oleh JPK Nurul Farhana Binti Azhrullail bagi mengikuti beberapa program yang dijalankan. Walaupun mereka agak canggung dan terpukau dengan sambutan yang diterima, namun keceriaan jelas terpancar di wajah mereka tatkala bersama-sama menyumbangkan tarian silat yang begitu kemas dan menarik sekali. Tepukan semangat yang diberikan oleh keluarga Kolej Dahlia serta tetamu yang hadir memberikan suatu semangat kepada para pelatih ini yang mampu mengurangkan stigma dan seterusnya menunjukkan sokongan masyarakat kepada mereka.

Para pelatih juga diberi peluang untuk bersama-sama dalam sesi perkongsian Forum Kebajikan Wanita bertajuk Dating Violence yang telah dikendalikan oleh Puan Fatimah Sham selaku Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Kesihatan dan merupakan Staf Residen Kolej (SRK) Dahlia. Panel forum pula terdiri daripada Pakar Psikiatrik, Hospital Al Sultan Abdullah, UiTM iaiti Prof. Madya Dr Salmi Razali bersama DSP Norfidah binti Mohamad Dan, Pegawai Turus D11, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Cik Miss Kok Lee Lian, Senior Programme Manager, All Women’s Action Society (AWAM) Malaysia yang merupakan NGO yang terlibat dalam memperkasakan Wanita dan gadis. Forum ini mendapat sambutan baik daripada para peserta dengan pelbagai soalan yang berkaitan dengan isu keganasan Wanita dan “Dating Violence”.

Akhir sekali sebelum para pelatih diberikan maklumat dan penerangan mengenai Program Pra-Diploma yang merupakan initiatif UiTM memberi laluan khas kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak memenuhi syarat asas untuk meneruskan pengajian di universiti awam. Perkongsian ini adalah bertujuan memberi semangat kepada para pelatih menyambung pengajian selepas mereka keluar daripada asrama tersebut. Program ini juga telah menarik minat beberapa pertubuhan dan NGO antaranya Pertubuhan Ar-Riqab Chow Kit, Sukarelawan Dakwah Islamiah (Sudi) dan Sukarelawan Sosial Islam (SSI) untuk Bersama-sama menyantuni para pelatih Asrama Bahagia dan berkongsi pengalaman sesame sesi forum “Dating Violence”. Selaku Pengetua Kolej Dahlia, Dr Noor Azzah Binti Said, beliau amat berpuashati dengan penganjuran program ini iaitu dengan penyertaan seramai lebih 500 orang peserta dan akan berusaha mengekalkan program sebegini demi untuk memberi peluang kepada mahasiswa bersama masyarakat.