Pembangunan tanah dilokasi yang strategik sering diberi perhatian oleh pengamal industri bagi pembangunan secara komersial. Namun, terdapat banyak kawasan tanah terbiar di luar Bandar yang tertinggal oleh arus pembangunan pesat. Potensi tanah luar bandar di dalam pembangunan seharusnya diberi perhatian secara fokus dengan merangka pelan pembangunan yang strategik bagi memastikan pembangunan sektor pertanian dan akuakultur sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Negara.
Kini, kita dapat lihat pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia di dalam membantu petani dan juga usahawan kecil dari sektor pertanian dan akuakultur dengan memberikan modal bantuan kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membangunkan tanah pusaka nenek moyang sebagai satu platform untuk mereka menghasilkan produk yang bermutu dan berkualiti bagi menjana serta meningkatkan ekonomi Bumiputera.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDEC) adalah sebuah kementerian yang aktif di dalam memberikan sokongan dari pelbagai aspek antaranya menyediakan khidmat sokongan bantuan, pembiayaan perniagaan dan juga memberikan peluang kepada usahawan merentasi pasaran tempatan dan global. Agro Bank Malaysia juga diantara institusi yang memberikan sokongan kewangan untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian.
Sektor pertanian kini, telah melakukan pelbagai inovasi di dalam pengoperasian pertanian bagi tanaman padi sebagai contoh, menggunakan teknologi dron untuk tujuan meracun sawah dan membaja, mesin penanaman padi secara automatik tanpa menggunakan kuku kambing seperti praktis sebelum ini, dimana teknik traditional bagi pengurusan pertanian ini tidak lagi digunapakai bagi memaksimumkan hasil dapatan pertanian secara holistik dan efektif. Petani juga mengamalkan sistem tanaman bergilir dengan menjadikan tanah sawah bukan sahaja untuk penanaman padi, tetapi menanam tanaman lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang berpotensi menjana pendapatan yang lebih baik.
Manakala, sektor akuakultur dalam konteks penternakan ikan juga tidak ketinggalan di dalam menjana ekonomi yang berpotensi besar dipasaran. Membangunkan tanah melalui sektor akuakultur tidak hanya tertumpu kepada perikanan semata, terdapat cabang lain yang berpotensi untuk dibangunkan antaranya pembiakan, pemeliharaan, dan penuaian ikan, kerang, ganggang dan lain-lain. Pembangunan teknologi di dalam sektor ini juga membuka peluang kepada pengusaha untuk mengembangkan sayap mereka untuk menjadi pembekal utama dalam sektor ini.
Tidak dapat dinafikan pembangunan tanah luar Bandar memberikan manfaat terbaik dalam pembangunan sektor pertanian dan akuakultur yang banyak membantu di dalam merialisasikan Rancangan Malaysia ke-12 iaitu strategi dan inisiatif di bawah Kerangka Sekuriti Makanan Negara dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 akan dilaksana bagi mencapai sasaran tahap kecukupan bekalan makanan dan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa.