SHAH ALAM, 28 Julai 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengambil langkah proaktif untuk menguatkan hubungan antara UiTM dan International Islamic University Malaysia (IIUM) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 27 Julai 2023.
Majlis ini dijalankan secara atas talian yang dihadiri oleh Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM dan Profesor Ts. Dr. Janudin Sardi, Dekan Akademi Pengajian Bahasa, UiTM. Dokumen MoU tersebut telah disempurnakan oleh Rektor IIUM iaitu Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dengan disaksikan oleh Prof. Dr Ahmad Faris Ismail selaku Timbalan Rektor IIUM (Academic and Internationalisation).
Pemeteraian MoU ini bertujuan memperkuatkan kerjasama antara UiTM dan IIUM dalam bidang pembangunan akademik, penyelidikan, perkembangan pelajar dan pembelajaran kolaboratif. Perjanjian ini merupakan hasil daripada Lawatan Penanda Aras Ahli Pengurusan Akademi Pengajian Bahasa, UiTM ke Kulliyyah of Languages Management, IIUM Pagoh yang telah berlangsung pada 28 September 2022.
Perjanjian persefahaman ini juga sejajar dengan Sustainable Development Goal (SDG17): Partnership for Goals yang bermatlamat memperkukuh kerjasama antara pertubuhan untuk mencapai pembangunan bersama.
Dengan termeterainya perjanjian persefahaman ini, diharapkan kerjasama antara UiTM dan IIUM akan terus aktif serta memberi impak yang tinggi kepada kedua-dua buah universiti.