MAP 2021-“Lupakan Seketika Cabaran Pembelajaran Dalam Talian” , Dekan FKPM UiTM

KUALA LUMPUR: Malam Apresiasi Penyiaran (MAP 2021) membolehkan pelajar melupakan seketika cabaran pembelajaran atas talian yang sudah berlarutan sejak setahun lepas akibat pandemik COVID-19. Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Massila Hamzah berkata, program santai anjuran Persatuan Pelajar Penyiaran (The CAST), UiTM Kampus Rembau yang dianjurkan pada 10 Julai lalu itu turut mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam bidang berkenaan.

“Pandemik ini sememangnya memberikan kesan besar ke atas kehidupan masyarakat baik dari segi kesan ekonomi dan sosial terutama keadaan mental. Majlis yang disiarkan secara langsung selama dua jam melalui platform Youtube turut mendapat bimbingan daripada pensyarah penyiaran yang juga penasihat The CAST, Nurul Aishah Ab Raman.

“Saya berharap inisiatif kecil sekumpulan pelajar ini mampu menyuntik keceriaan, semangat yang bererti bukan sahaja kepada penerima anugerah, malah kepada semua pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media walaupun berdepan keadaan yang mencabar kini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, bagi pelajar, Mirza Zafirah Mohd Zailani, 23 tahun, yang juga salah seorang daripada penerima Anugerah Dekan, terdapat pelbagai perkara yang tidak dijangka seperti masalah capaian Internet kurang memuaskan terutama di kawasan perumahan baharu amat mencabarnya.

Nada sama dikongsi seorang lagi pelajar cemerlang, Dzaifiq Khalif Darus, 24 tahun, yang berada di semester tiga pengajian yang menyifatkan pembelajaran dalam talian (ODL) menuntut usaha lebih kreatif baik daripada pelajar dan juga tenaga pengajar.

MAP 2021 adalah kali kedua diadakan berturut secara dalam talian susulan pelaksanaan ODL sejak April 2020. Ia meraikan seramai 188 penerima Anugerah Dekan termasuk empat penerima Anugerah Naib Canselor FKPM dari semester satu sehingga enam sesi September 2020 ke Januari tahun ini.

Siaran yang turut menampilkan persembahan dari pelajar selain beberapa kategori sampingan seperti pakaian terbaik dan cabutan bertuah itu berjaya mencapai lebih 1,500 tontonan YouTube rasmi The CAST.

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/map-2021-lupakan-seketika-cabaran-pembelajaran-dalam-talian-dekan-fkpm-uitm-308086