17 Mei 2024 – Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah mengadakan Mandarin Short Speech Competition 2024. Pertandingan yang buat julung kalinya dianjurkan ini telah diadakan di Dewan Al Biruni 1 UiTM Kampus Jengka dan disertai oleh 15 orang peserta.
Pertandingan ini bertujuan untuk meningkat semangat pelajar untuk mempraktikkan serta menguasai kemahiran berbahasa Mandarin. Pertandingan ini juga dilihat telah berjaya dalam mencungkil bakat pelajar dalam menyampaikan ucapan dalam bahasa Mandarin serta meningkatkan keberanian dan daya kreativiti pelajar dalam usaha memastikan persembahan ucapan mereka menarik minat para pendengar dan juri.
Dalam pertandingan ini, setiap peserta diberikan masa dua minit untuk menyampaikan ucapan mereka sepenuhnya dalam bahasa mandarin. Untuk meningkatkan keberkesanan ucapan mereka, para peserta turut menyediakan gambar dan teks ucapan untuk membantu mereka menyampaikan ucapan dengan lebih baik. Pelbagai tajuk yang menarik telah disediakan oleh para peserta.
Akademi Pengajian Bahasa juga telah menjemput Puan Nik Nurul Hidayat Binti Md Rahim dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh yang juga merupakan guru Bahasa Mandarin sebagai juri untuk mengadili pertandingan akhir ini. Dalam peringkat saringan pertama, pertandingan ini turut mendapat usaha sama serta penglibatan luar iaitu tenaga pengajar dari Kunkwan International Mandarin Training Center.
Pada akhir majlis, juri telah sebulat suara menobatkan Kaiyisah Binti Kamaruzzaman sebagai juara pertandingan ini. Manakala, tempat kedua dimenangi oleh Shareen Arissa Binti Rosman, diikuti oleh pemenang tempat ketiga iaitu Nurul Syafiqah Binti Irmawansah. Tempat keempat dan kelima telah disandang oleh Nur Najiba Binti Mohamad Nasri dan Nur Alisha Binti Zam Zam.
Pertandingan ini semestinya akan diadakan sebagai acara tahunan supaya lebih ramai pelajar dapat melibatkan diri mereka dalam acara ini dan meningkatkan lagi semangat persaingan secara sihat antara pelajar dalam usaha mereka untuk berbahasa Mandarin dengan fasih.