PUNCAK ALAM, 18 Mei 2023 – Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) sesi 2022/2023, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat persatuan. Majlis ini diadakan secara bersemuka dan melibatkan para pensyarah, staf pusat pengajian Fisioterapi serta pelajar Fisioterapi yang terdiri daripada semester 2, 4, dan 6. Tujuan utama majlis ini dijalankan adalah untuk berkongsi kegembiraan meraikan hari raya sekali gus mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara pensyarah, staf dan pelajar fisioterapi. Selain itu, majlis ini memupuk kita untuk mengamalkan cara hidup yang baik dengan bermaaf-maafan dan menghormati antara satu sama lain.
Seawal jam 1.30 petang, para pelajar tiba di High-Performance Gym dan mereka diminta untuk mendaftarkan kehadiran masing-masing di meja pendaftaran sebelum memasuki kawasan majlis. Sementara menunggu ketibaan VIP dan para pelajar yang lain, mereka mengisi waktu yang terluang dengan menulis kad ucapan Selamat Hari Raya, mengambil gambar di photobooth dan bermain permainan tradisional seperti congkak, penutup botol dan batu seremban.
Sebaik sahaja VIP tiba, majlis dimulakan dengan kata alu-aluan daripada pengacara majlis dan diteruskan dengan ucapan daripada saudari Nur Iman Nabeela Binti Shah Rol Rizal, Pengarah Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PHYTAS 2023 dan ucapan daripada Puan Aiman Nadia Akmar Binti Rahman, Penasihat 1 Persatuan Pelajar Fisioterapi sesi 2022/2023. Sejurus sahaja ucapan daripada penasihat tamat, majlis diteruskan dengan sesi menjamu selera.
Semasa para pensyarah, staf dan pelajar menjamu selera, para tetamu dihiburkan dengan tayangan montaj yang telah disediakan oleh biro multimedia. Montaj tersebut mempamerkan suasana kegembiraan Hari Raya dan ucapan Hari Raya daripada setiap semester. Turut tidak dilupakan iaitu persembahan menarik daripada wakil pelajar untuk menghiburkan para tetamu. Dimulakan dengan semester 6, para tetamu dapat melihat pertunjukan silat, disambung dengan persembahan syair daripada semester 4 dan akhir sekali sketsa daripada semester 2. Sesi karaoke daripada para pensyarah juga telah diadakan. Setelah selesai menjamu selera, majlis diteruskan lagi dengan sesi permainan. Antara permainan yang dipertandingkan ialah ‘Telefon Rosak’ dan ‘Musical Chairs’ yang bertujuan untuk memeriahkan lagi majlis hari raya, juga merapatkan hubungan antara pelajar, pensyarah dan staf fisioterapi.
Sebelum selesai, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah untuk para pemenang. Terdapat 2 acara yang dipertandingkan iaitu TikTok Raya Challenge dan Best Dressed. Bagi kategori TikTok Raya Challenge, acara ini telah dimenangi oleh tiga peserta daripada pengguna nama tersebut: @qwertynz_ , @jibril.g dan @hs244_ . Bagi kategori Best Dressed pula, saudara Ishaq daripada semester 6 dan saudari Atiqah daripada semester 4 telah memenangi kategori tersebut.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini dapat memupuk nilai perpaduan ikhtisas dalam kalangan pelajar fisioterapi, pensyarah serta staf Pusat Pengajian Fisioterapi, UiTM Puncak Alam. Di samping itu, dengan adanya program ini, para pelajar dapat menyelami dan meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan tradisi Hari Raya Aidilfitri yang hampir dilupakan dek peredaran zaman. Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang demi menghasilkan para graduan yang proaktif dalam kegiatan kebudayaan di Malaysia.