MAJLIS SAMBUTAN AIDILADHA BERSAMA AHLI PEWANI UiTM CAWANGAN SABAH

KOTA KINABALU, 7 Julai 2023 –PEWANI UiTM Cawangan Sabah telah menganjurkan “Majlis Sambutan Aidiladha Bersama Ahli Pewani UiTM Cawangan Sabah” di Galeri KOMSAT, UiTM Cawangan Sabah. Program ini dianjurkan bagi meraikan Ahli PEWANI UiTM Cawangan Sabah. Majlis juga diadakan bagi menghargai Mantan Pengerusi YBhg. Datin Hjh. Dg. Noorizan Hj. Bakrin yang telah berkhidmat selama 16 tahun sebagai pengerusi PEWANI UiTM Cawangan Sabah. Bermula dengan sehari selembar benang, lama- lama menjadi kain, Mantan Pengerusi PEWANI UiTM Cawangan Sabah telah menyediakan ruang dan peluang kepada ahli PEWANI UiTM Cawangan Sabah untuk menjalankan aktiviti bersama ahli wanita (staf dan isteri staf UiTM Cawangan Sabah). Pelbagai usaha dan aktiviti berkaitan wanita giat dijalankan seperti program kemasyarakatan, program sukan, latihan kepakaran dan perkongsian ilmu.

Majlis diteruskan dengan sesi penyerahan tugas kepada Pengerusi PEWANI UiTM Cawangan Sabah yang baharu iaitu Yang Berusaha Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed, Rektor UiTM Cawangan Sabah. Pengerusi PEWANI UiTM Cawangan Sabah akan meneruskan legasi persatuan dengan memperkasa peranan wanita dan meneruskan usaha membangun wanita di Negeri Sabah. Bak kata pepatah, serumpun bak serai, sesusun bak sireh, ahli PEWANI UiTM Cawangan Sabah dinasihatkan untuk terus bekerjasama dan menjalankan program -program memperkasa wanita di peringkat UiTM, Negeri Sabah dan Malaysia.