PUTRAJAYA, 11 APRIL 2023 – Telah berlangsung sesi penyerahan laporan akhir Kajian Indeks Keselamatan Sempadan Negara (IKSN) 2022 di Kementerian Dalam Negeri. Kajian Indeks Keselamatan Sempadan Negara (IKSN) telah lengkap dilaksanakan dalam tempoh 11 bulan (16 Ogos 2021 – 31 Julai 2022) dengan melibatkan kerjasama penyelidikan antara Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Kajian ini mensasarkan kepada pembangunan indikator bersesuaian bagi mengukur keselamatan sempadan negara yang melibatkan 11 isu jenayah rentas sempadan: (1) pendatang asing tanpa izin; (2) pemerdagangan manusia; (3) penyeludupan dadah/narkotik; (4) penyeludupan barangan; (5) penyeludupan senjata api; (6) pemerdagangan binatang liar; (7) pembalakan haram; 8- keganasan (terrorism); (9) pelanunan; (10) perikanan tidak sah; dan (11) jenayah siber.
Laporan kajian telah diserahkan oleh YBhg Profesor Ts. Dr Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UiTM kepada YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri, disaksikan oleh YBhg. Tan Sri Acryl Sani Hj Abdullah Sani, Ketua Polis Negara dan YBhg. Datuk Haji Ruji Haji Ubi, Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri.
Turut hadir YBhg. Datuk Rodzi Md Saad, Ketua Pengarah, Majlis Keselamatan Negara, YBhg. Dato’ Hj Abdul Halim Hj Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Dato’ Ruslin Jusoh, Ketua Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia, YBhg. Datuk Saiful Lizan Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, YBhg. Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Ketua Staf, Angkatan Tentera Malaysia, YBrs. Tuan Lokman, dan Effendi Ramli@Zakaria, Ketua Eksekutif, Institut Keselamatan Awam.
Kajian IKSN ini diketuai oleh Profesor Dr Yarina Ahmad, dengan melibatkan seramai 75 penyelidik, 17 pembantu penyelidik, serta kerjasama 10 pegawai perhubungan yang terdiri daripada pegawai Polis di negeri telah berjaya memperolehi data yang mendalam melibatkan:
• Sesi libat urus bersama 17 agensi peneraju (44 orang wakil daripada pelbagai agensi, dan 27 pembentangan telah dilaksanakan);
• 23 temu bual kumpulan berfokus (265 informan) dijalankan bersama kumpulan pelaksana dan penguat kuasa di pintu masuk/sempadan darat/laut/udara di 11 buah negeri di Semenanjung Malaysia;
• Soal selidik melibatkan seramai 12,048 responden di Semenanjung Malaysia;
• 38 temu bual mendalam bersama pemimpin komuniti yang tinggal di pintu masuk/kawasan sempadan di Semenanjung Malaysia;
• 16 temu bual bersama key persons mewakili agensi peneraju yang berurusan dengan isu jenayah rentas sempadan.
• Analisis dasar dalam dan luar negara berkaitan isu jenayah rentas sempadan secara keseluruhan; dan
• Validasi data dijalankan dalam kalangan 22 pakar bagi setiap isu jenayah rentas sempadan; lima orang pakar utama; pakar validasi (tiga orang pakar dari dalam negara; dan dua orang pakar dari luar negara).
Hasil daripada kutipan data yang mendalam ini, Kajian IKSN telah berjaya memuktamadkan sebanyak 59 indikator bagi mengukur keselamatan sempadan negara dengan 178 pemberat. Pembangunan IKSN ini sangat bertepatan dengan misi negara untuk memastikan keselamatan dan keamanan dalam negara terjamin serta kesejahteraan rakyat terpelihara. IKSN akan memberi gambaran status semasa keselamatan sempadan negara, menjadi indikator bagi perancangan strategi yang teliti untuk membanteras jenayah rentas sempadan, serta menjadi salah satu pengukuran keselamatan dan ketenteraman negara kepada negara luar.
Kajian IKSN ini seterusnya telah mencadangkan model pengukuhan keselamatan sempadan negara serta membangunkan pelan tindakan yang mengandungi 27 strategi pengukuhan keselamatan sempadan negara yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai agensi peneraju yang berurusan dengan kawalan sempadan negara. Secara keseluruhannya, Kajian IKSN ini boleh dimanfaatkan oleh KDN dan agensi kerajaan yang lain sebagai input dasar bagi penambahbaikan dan pemerkasaan kawalan sempadan negara secara menyeluruh.