Majlis Pengumpulan Sisa Elektrik & Elektronik Isi Rumah (E-Waste) dan Pelancaran Inisiatif Hijau Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam 2023

BERTAM, 14 Julai 2023 – Majlis perasmian Program Pengumpulan Sisa Elektrik & Elektronik Isi Rumah (E-Waste) dan Pelancaran Projek Inisiatif Hijau Fakulti Sains Kesihatan Kampus Bertam telah diadakan pada 14 Julai bertempat di Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Kampus Bertam. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Profesor Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Bin Razali, selaku Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang. Majlis ini turut dihadiri Encik Norazizi bin Adinan yang merupakan Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan Puan Shirly Ooi Guat Choo, selaku Pengurus Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Cycle Trend Industries Sdn. Bhd. yang menjadi rakan kerjasama dalam program ini. Turut memeriahkan majlis adalah kedatangan kumpulan Sunway Group.

Program Pengumpulan Sisa Elektrik & Elektronik Isi Rumah (E-Waste) anjuran Jabatan Kesihatan Persekitaran, UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang telah berjaya meraih kutipan sebanyak 3 tan metrik sisa e-waste. Kutipan tersebut telah dijalankan pada 8 dan 9 Julai bertempat di Blok Makmal, UiTM Kampus Bertam dan disertai oleh penduduk setempat sekitar Kepala Batas. Penyumbang terbesar kutipan e-waste kali ini adalah dari Persatuan Residensi Limonia Lakeside (LARA) sebanyak 852.50 kg dan SMK Guar Perahu Indah dengan kutipan 1,019.32kg.

Selain itu, perkongsian ceramah ‘Inovasi Menggunakan Waste’ telah dihadiri oleh staf dan pelajar UiTM Kampus Bertam serta warga pendidik daripada 18 buah sekolah rendah dan menengah sekitar Seberang Perai Utara. Sesi ini telah mendedahkan kepentingan dan konsep inovasi menggunakan bahan bungan agar semua yang hadir dapat menghasilkan idea, gunapakai dan akhirnya memberi manfaat kepada komuniti dan negara. Seterusnya, ceramah bertajuk ‘Harta Intelekku’ yang disampaikan oleh Encik Amirudin Bin Hamzah daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah berjaya memberi kesedaran kepada semua mengenai kepentingan dan hakcipta yang boleh dituntut atas penghasilan sesuatu idea atau produk. Sekaligus program ini dapat menjadikan Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam sebagai rakan strategik utama kepada Jabatan Alam Sekitar di wilayah utara dengan memainkan peranan penting sebagai hub pendidikan dan pembangunan profesional dalam mendidik dan memandu masyarakat menghargai alam sekitar.

Manakala Pelancaran Inisiatif Hijau Fakulti Sains Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran Kampus Bertam telah mengambil tiga inisiatif termasuk: (1) pengurusan sisa yang mampan (sustainable waste management), (2) Kesedaran gaya hidup hijau (Green lifestyle awareness) dan (3) Meningkatkan penjimatan air (enhance water conservation). Moga langkah ini dapat menjadi langkah permulaan dalam memastikan alam sekitar terpelihara agar dapat diwarisi kepada generasi akan datang.