Pada tanggal 14 Februari 2023, bertempat di Rumah Tamu UiTM Cawangan Pahang telah berlangsung majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UiTM Cawangan Pahang dan Go’bang Maju Sdn Bhd, serta Memorandum Persetujuan (MoA) di antara UiTM Cawangan Pahang dengan Azwa Facial Hair & Beauty Salon, Hani D’ Unggul Sdn Bhd dan Equal Fitness Sports Massage. Majlis anjuran pihak MASMED UiTM Cawangan Pahang ini telah melakar sejarahnya yang tersendiri kepada semua pihak yang terlibat.
Majlis menandatangani MoU telah disempurnakan oleh Rektor kampus, Profesor Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan dan Pengarah Urusan Go’bang Maju Sdn Bhd, Encik Muhamad Rizal Bin Muhamad Rosely. Manakala majlis menandatangani MoA telah disempurnakan oleh Rektor kampus dan Pengarah Azwa Facial Hair Spa & Beauty Salon, Puan Norazwa Yusof, CEO Hani D’ Unggul Sdn Bhd, Puan Hajah Siti Rohani Othman dan Pengurus Equal Fitness Sports Massage, Puan Hajah Salina Chew Abdullah. Sesi tersebut turut disaksikan oleh barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN), Ketua-ketua Pusat Pengajian, Penyelaras ICAN, Jawatankuasa MASMED dan Jawatankuasa Program Asnafpreneur serta wakil-wakil syarikat yang terlibat.
Dengan termeterainya MoU dan MoA di antara UiTM Cawangan Pahang dan empat pemain industri ini diharapkan ianya memberi impak positif dalam memberi peluang kepada siswa dan siswi untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu dalam industri makanan, spa dan kecantikan, gunting rambut dan dandanan rambut serta urutan sukan yang akan menjadi nilai tambah setelah mereka bergraduat. Tambahan lagi, siswa dan siswi akan dapat bergiat aktif dalam aktiviti keusahawanan dengan mengaplikasikan kemahiran yang diperolehi, di samping mendapat perkongsian kepakaran secara berterusan daripada pemain industri yang berpengalaman luas. Ini sekaligus dapat memeriahkan lagi budaya keusahawanan di kalangan siswa dan siswi UiTM Cawangan Pahang.