Majlis menandatangani Letter of Intent (LoI) antara IOS, UiTM dan Universitas Muhammadiyah Kendari, Sulawesi Tenggara, Indonesia

SHAH ALAM,4 September 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) telah menandatangani surat niat (Letter of Intent (LoI)) antara Institut Sains (IOS), UiTM dan Universitas Muhammadiyah Kendari, Sulawesi Tenggara, Indonesia dalam majlis yang telah berlangsung di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.

Tujuan utama kunjungan rasmi delegasi Universitas Muhammadiyah Kendari (UMK), Sulawesi Tenggara, Indonesia ini adalah untuk menjalankan kolaborasi penyelidikan bagi projek Li-Ion Bateri yang diketuai oleh ChM Ts. Dr Muhd Firdaus Kasim penyelidik dari Institut Sains, UiTM.

Surat niat (LoI) tersebut telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UiTM, YBhg. Prof. Ts. Dr Norazah Abd Rahman dan Rektor Universitas Muhammadiyah Kendari (UMK), Prof Dr Ir Muhammad Nurdin, disaksikan oleh Prof. Engr. Ts. Dr Mohamad Rusop Mahmood selaku Pengarah Institut Sains (IOS). Majlis turut dihadiri oleh barisan pengurusan Universitas Muhammadiyah Kendari (UMK), Sulawesi Tenggara, Indonesia, Pengarah BITCOM, Prof. Madya Ir Dr Ahmad Sabirin Zoolfakar, Ketua Unit Komunikasi Penyelidikan & Visibiliti (UKPV), Prof. Madya Dr Mohd Muzamir Mahat, serta ahli kumpulan penyelidikan Li-Ion Bateri.

Kerjasama yang akan dijalankan adalah merangkumi penyelidikan berkaitan sains dan teknologi alam sekitar, perkongsian penggunaan kemudahan penyelidikan di UMK dan IOS-UiTM, pertukaran pelajar dan kakitangan, kunjungan dan latihan sangkutan, serta penerbitan bersama hasil daripada kerjasama kedua-dua pihak.

Diharapkan melalui lawatan ini menjadi permulaan perjalanan jalinan penyelidikan antara UiTM dan Universitas Muhammadiyah Kendari, serta membuka peluang bagi memperkasa bidang penyelidikan yang diterokai dan memberi manfaat kedua-dua organisasi.